KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Malaysia tahun ini bukan hanya sekadar mengenang pembentukan sebuah negara malah ia sepatutnya menjadi hari memasang iltizam keluar daripada pandemik COVID-19 seterusnya bangkit dari kepedihan silam.

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah banyak pencapaian diperolehi dalam usaha memerangi COVID-19 hasil usaha barisan hadapan dan seluruh rakyat Malaysia namun hakikatnya perjuangan belum selesai.

Muhyiddin turut menzahirkan rasa bangga kepada setiap rakyat Malaysia yang telah memainkan peranan berjuang untuk memerangi wabak ini.

"Saya yakin dan percaya kita semua mampu mencipta keajaiban untuk membawa negara keluar daripada krisis dan kesan atas pendemik ini.

"Selaku Pengerusi Majilis Pemulihan Negara, saya akan memastikan untuk merancakkan kembali aktiviti sosioekonomi negara dibuat secara komprehensif, teratur dan lestari.

"Yang penting, setiap rakyat haruslah dapat merasai nikmat dan manfaat daripadanya selaras dengan matlamat wawasan kemakmuran bersama tahun 2030,"  katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya, pada Khamis.         

Disamping itu, beliau menghargai segala  usaha sesama rakyat  mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  mahupun menyahut seruan pengambilan vaksinasi, untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut pendemik dan merintis ke arah pemulihan negara yang telah lama diidam-idamkan.

"Tahun 2021 merupakan tahun pemulihan Malaysia. Justeru Hari Malaysia 2021 merupakan hari sambutan yang istimewa kerana pada tahun inilah kita memasang azam dan iltizam untuk keluar dari pandemik, tinggalkan ketakutan dan bangkit kembali daripada kepedihan setahun lampau," katanya.           

Dalam masa sama, beliau berkata, Malaysia berada di landasan yang tepat dengan kadar vaksinasi negara terpantas di dunia, 76.2 peratus populasi dewasa Malaysia atau lebih 17.83 juta individu  sudah lengkap vaksinasi.

Manakala sebanyak  91.3 peratus sudah menerima satu dos dan sekali gus membuat negara semakin hampir mencapai imuniti kelompok.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Malaysia ke-58 tahun buat semua rakyat Malaysia serta  berharap kerajaan akan meneruskan usaha untuk memenuhi semangat dan hasrat perjanjian Malaysia 1963 dan Malaysia akan segera pulih daripada kesan wabak COVID-19.