NATIONAL
Hari Pekerja 2025: Kerajaan pastikan perumahan mampu milik catat angka tertinggi - PM

Menurut Anwar, kerajaan akan memastikan jumlah perumahan mampu milik tertinggi dapat dibina bagi golongan pekerja di negara ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan jumlah perumahan mampu milik tertinggi dapat dibina bagi golongan pekerja di negara ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan usaha membina jumlah perumahan tertinggi dalam sejarah untuk golongan pekerja, termasuk di kawasan bandar.
- Anwar menyatakan bahawa tanah untuk projek perumahan rakyat kini tersedia, mengatasi alasan kekurangan tanah yang berlarutan sejak puluhan tahun.
- Kerajaan telah menyempurnakan 468,000 unit rumah mampu milik setakat ini, dengan sasaran mencapai 500,000 unit menjelang akhir tahun 2025.
"Saya dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming), Dewan Bandaraya dan seluruh jentera kerajaan kita akan pastikan jumlah perumahan tertinggi dalam sejarah sejak merdeka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2025 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena Bukit Jalil di ibu negara pada pagi Khamis.
Jelas Anwar lagi, isu kekurangan perumahan golongan pekerja bukan satu isu baharu malah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
“Alasan kekurangan tanah bagi projek perumahan mampu milik untuk rakyat. Dulu saya pernah sebut bila tanya tanah tidak ada ini dulu 25-30 tahun lalu. Nak buat perumahan rakyat susah nak cari tanah, ada projek itu ini.
"Ya, tapi saya lihat untuk projek padang golf ada tanah, tetapi rumah rakyat tiada tanah. Jadi sekarang Alhamdulillah di Wilayah Persekutuan ada tanah.
"Kita bangunkan perumahan rakyat puluhan ribu di tengah kota ada kesesakan dan keperluan itu maknanya membela nasib pekerja," ujarnya lagi.
Sebelum ini media melaporkan kerajaan dijangka mencapai pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang akhir tahun ini.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming setakat ini sebanyak 468,000 unit rumah mampu milik telah disempurnakan dan diluluskan di seluruh negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami