KUALA LUMPUR : Sekolah perlu merangka pelan pemulihan khasnya sendiri bagi memastikan murid-murid tidak tercicir dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Ia selari dengan usaha kerajaan dalam membendung kewujudan 'generasi yang hilang' atau 'the lost generation' iaitu merujuk kepada pelajar yang tercicir dari sistem persekolahan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Untuk Malaysia Zul Fikri Zamir, data berkaitan the lost generation juga perlu didedahkan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan krisis ini mendapat perhatian umum.

“Saya setuju dengan idea autonomi kerana saya berpendapat, yang tahu murid-murid mereka adalah, yang pertama guru kelas, dan yang kedua sekolah.

“Kalau sekolah boleh rangka pelan pemulihan sendiri, itu bagus. Saya juga faham pelan pemulihan ini ada dirangka KPM sekarang, tetapi tidak didedahkan datanya.

“Jadi, kita tidak tahu berapa ramai anak-anak yang tidak boleh baca misalnya, yang ketinggalan dalam pelajaran, dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Zul Fikri berkata, sekolah perlu ada pelan khas yang menyeluruh agar ia boleh membantu supaya semua pihak ada keinginan untuk menyelesaikan masalah keciciran murid.

“Kalau keadaan masih seperti sekarang, masyarakat tidak melihat krisis ini sangat mendesak kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku di sekolah, kerana mereka tidak nampak pelan yang dirangka KPM.

“Walaupun pelan itu berlaku, tetapi kita tidak ada idea besar apa yang dilaksanakan.

"Saya fikir, kalau KPM boleh dedahkan data dan apakah pelan pemulihan yang dirangka ia adalah lebih baik supaya masyarakat boleh bantu sama,” katanya.

Katanya lagi, kerjasama pihak swasta juga disambut baik dalam memastikan anak-anak dapat membaca agar pihak sekolah tidak terbeban dengan usaha tambahan demi kelancaran proses pendidikan pelajar.

Zul Fikri berkata demikian sebagai mengulas sambutan Hari Pendidikan Antarabangsa pada tarikh 24 Januari setiap tahun.


AWANI Pagi: Hari Pendidikan Antarabangsa

Untuk rekod, menurut Laporan Bank Dunia, penutupan sekolah akibat COVID-19 menyebabkan kebanyakan pelajar di dunia tidak dapat bersekolah. Ia mencecah 1.6 bilion pelajar pada April 2020 dan pastinya jumlah ini akan terus meningkat sekiranya pandemik ini masih belum dapat dikawal.

Kajian Bank Dunia turut mendapati penutupan sekolah disebabkan COVID-19 berisiko menyebabkan 72 juta murid sekolah berdepan ancaman 'kemiskinan pembelajaran' yang bermakna mereka tidak boleh membaca dan memahami teks mudah pada usia 10 tahun.

UNICEF dalam laporan yang bertajuk Averting a Lost COVID Generation telah melaporkan bahawa walaupun jangkitan COVID-19 terhadap kanak-kanak dan remaja bawah 20 tahun adalah kecil iaitu 1 dari 9, namun kesan jangka panjang terhadap pendidikan, pemakanan dan kesejahteraan seluruh generasi kanak-kanak dan orang muda dijangka akan menjejaskan kehidupan masa depan mereka.

Dalam pada itu, Zul Fikri Zamir turut berpendapat, kekurangan bekalan makanan berkhasiat buat anak-anak turut menyebabkan berlakunya ‘the lost generation’.

Ini kerana secara dasarnya, sekiranya murid-murid tidak mendapat bekalan makanan khasiat yang mencukupi, mereka tidak bersedia dari segi fizikal dan mental untuk belajar.

“Untuk anak-anak miskin yang tidak mendapat bekalan makanan khasiat, ia amat memberi kesan. Sebab itu mereka bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar, malah untuk makan kerana di rumah memang tiada makanan.

“Sebab itu saya sangat sedih apabila sekolah ditutup kerana mereka tidak dapat makan makanan berkhasiat dan sekiranya mereka tidak bersedia dan datang ke sekolah dengan keadaan lapar, ia boleh menjejaskan prestasi pembelajaran mereka,” jelasnya.