KUALA LUMPUR: Hari Sarawak yang diraikan pada setiap tahun menjadi titik penyatuan rakyat untuk mengejar impian menjadikan Sarawak sebuah negeri yang maju menjelang 2030.

Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, amat signifikan tarikh 22 Julai 1963 diperingati sebagai titik permulaan Sarawak mempunyai kuasa untuk ditadbir oleh anak Sarawak sendiri.

Ia apabila mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri pertama Kerajaan Sarawak.

‘’Saya sedar tentang polemik mengenai pengertian dan interpretasi yang berkisar tentang Hari Sarawak.

‘’Namun, apa yang lebih penting ialah semangat semua anak Sarawak memakmurkan Sarawak sesuai dengan tema sambutan “Sarawak Makmur” dalam apa jua kapasiti dan peranan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum,’’ katanya pada sambutan Hari Sarawak 2022 di Stadium Tertutup Sibu pada Jumaat.

Ujarnya, sejak 100 tahun pemerintahan keluarga Brooke, diikuti penaklukan Jepun dan seterusnya penyerahan Sarawak kepada pentadbiran British, negeri ini tidak pernah mempunyai kerajaan yang ditadbir oleh anak watan sebagai Ketua Kerajaan.

Justeru, adalah wajar bagi terus memperingati peristiwa bersejarah pengambilalihan pentadbiran negeri oleh anak Sarawak sendiri.

‘’Pada tahun ini dengan transisi kepada fasa endemik kita boleh mengadakan perayaan yang lebih besar.

‘’Ini bagi memperingati peristiwa bersejarah Anak Sarawak diberi kuasa untuk mentadbir negeri sendiri genap 59 tahun yang lalu pada hari ini,’’ tambahnya.