IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak meneruskan pemantauan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini bagi mengesan harimau belang yang dilihat berkeliaran dalam beberapa rakaman video tular baru-baru ini.

Pengarahnya Yusof Shariff berkata, hasil pemeriksaan kakitangan Unit Harimau yang dihantar ke lokasi itu sejak Sabtu lepas mendapati kehadiran haiwan itu adalah benar namun setakat ini tiada kesan tapak kaki dijumpai disebabkan keadaan rumput dan tanah yang kering.

"Pemeriksaan di kawasan berhampiran tiang elektrik (seperti dalam video tular) memang terdapat bekas pada rumput malah kami turut menerima maklumat daripada polis bantuan bahawa mereka melihat sendiri harimau berkenaan.

"Pemantauan mendapati harimau itu sudah tiada dan kemungkinan ia sudah masuk semula ke hutan berhampiran iaitu Hutan Simpan Kekal Bukit Tapah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Yusof berkata pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan orang ramai dan keselamatan harimau itu sendiri namun tidak akan menangkap harimau itu sekiranya ia sihat dan tidak mengganggu orang atau haiwan ternakan.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak melakukan provokasi termasuk melontar sebarang objek sekiranya terserempak dengan harimau itu.

"Orang ramai juga dinasihat tidak menghampiri harimau belang itu dan segera melaporkan kepada pihak Perhilitan di talian 011-62917 567 atau 012-5809 593 untuk tindakan lanjut," katanya.

Jumaat lepas, tular video berdurasi 17 saat menerusi aplikasi TikTok menunjukkan seekor harimau berjalan di celahan semak samun di kawasan berbukit.

Pemilik media sosial itu turut mendakwa lokasi terbabit ialah selepas Cafe Banjaran yang terletak berhampiran kawasan rehat dan rawat serta meminta orang ramai berhati-hati.

-- BERNAMA