MALAYSIA
'Harmoni Dalam Kepelbagaian' jadi tunjang Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2025

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenakan pakaian tradisional etnik Sabah ketika hadir merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, sambil diiringi Datuk Aaron Ago Dagang. - Gambar KPN
BATU KAWAN: Semangat muhibah dan kekitaan merentasi budaya serta agama diraikan dalam Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung meriah di pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada Sabtu.
Disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan kali ketiga ini membawa tema “Harmoni Dalam Kepelbagaian” yang menekankan prinsip Faham, Hormat dan Terima dalam memperkukuh keharmonian negara berbilang kaum dan agama.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya berkata tema tahun ini cukup signifikan dalam usaha menyemai perpaduan nasional yang tulen dan berdaya tahan.
“Sambutan Minggu Perpaduan ini merupakan platform interaksi dan tapak integrasi untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta memperluas pengetahuan terhadap kepelbagaian adat, budaya dan tradisi masyarakat Malaysia,” katanya.Menurutnya, usaha merakyatkan agenda perpaduan mesti digerakkan secara inklusif dan holistik agar seluruh lapisan masyarakat dapat bersama-sama memainkan peranan.
“Agenda perpaduan nasional bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya ia memerlukan komitmen semua pihak termasuk masyarakat, pemimpin akar umbi, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta,” tegasnya.

Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan ucapan perasmian sambil menekankan kepentingan nilai Faham, Hormat dan Terima dalam membentuk masyarakat MADANI yang bersatu padu. - Gambar KPN
Sambutan selama tiga hari itu menarik lebih 200,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang, yang hadir menyertai lebih 40 aktiviti utama termasuk Pameran Rumah KAMI mewakili 22 etnik, Perkampungan Rumah Kadazan Dusun dan Orang Asli, Sukan Tradisional, Foodunites, persembahan kebudayaan, serta pertandingan Boria dan Tarian Etnik.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi menggalakkan pelaksanaan program komuniti berimpak tinggi, serta pemberian biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) kepada tiga pelajar sebagai simbol usaha kerajaan memperkasa pendidikan anak muda.
Tambahnya, kementerian kini merancang pendekatan baharu bermula 2026, termasuk menggabungkan sambutan SMP negeri dengan perayaan etnik minoriti tempatan.
Pendekatan ‘2 dalam 1’ ini diharap mengiktiraf warisan budaya pelbagai komuniti serta memperluas apresiasi terhadap identiti nasional.
“Sebagai contoh, di Perak kita akan sambut Pesta Songkran bersama komuniti Siam, Pesta Kaul bersama Melanau di Sarawak dan Pesta Magahau oleh etnik Rungus di Sabah,” jelasnya.
Dalam konteks pembangunan negara, beliau turut menekankan bahawa perpaduan merupakan pra-syarat penting kepada kestabilan dan kemakmuran yang mampan.
“Tiada pembangunan tanpa perpaduan. Dan tiada perpaduan tanpa kefahaman serta penghormatan terhadap kepelbagaian,” ujar beliau.
Agenda perpaduan akan terus diperkasa melalui pengukuhan Dasar Perpaduan Negara berasaskan nilai MADANI, pelaksanaan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), serta libat urus Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa yang kini menjadi teras dalam perancangan Rancangan Malaysia Ke-13.

Datuk Aaron Ago Dagang (tengah) disambut mesra oleh kumpulan penari kebudayaan etnik Sabah dalam acara yang mengetengahkan warisan budaya pelbagai komuniti di sambutan SMP 2025. - Gambar KPN
Tiga inisiatif kementerian turut diberi penekanan iaitu Arkib@Sekolah, Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) dan Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium sebagai usaha memperkukuh semangat kenegaraan dalam kalangan generasi muda secara berterusan.
Sambutan tahun ini merupakan edisi ketiga selepas Kuching, Sarawak (2023) dan Johor Bahru (2024), manakala siri jelajah negeri telah selesai di tujuh negeri termasuk Melaka, Kedah dan Sabah serta akan diteruskan ke baki lapan negeri lain selepas ini.
Mengakhiri ucapannya, Aaron mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kerjasama menganjurkan sambutan tahun ini, serta menyeru seluruh rakyat Malaysia terus menghayati erti perpaduan dalam membentuk masyarakat MADANI yang bersatu dan harmoni.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami