KUALA LUMPUR: Walaupun kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia sudah memasuki fasa pemulihan, harus diingat bahawa Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) masih belum mengisytiharkan pandemik COVID-19 sudah berakhir.

Tegas Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Alam Sekitar dari Griffith University Australia, Dr. Dicky Budiman, ia bermakna ancaman virus itu masih wujud sekali gus menyebabkan kita perlu tetap berwaspada dan tidak terlalu mengambil ringan tentangnya.

Katanya, masih ada negara di dunia yang kadar imunisasinya belum mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus populasi penduduk termasuk beberapa negara di rantau ASEAN.

Keadaan itu, jelasnya,  menjadikan virus COVID-19 masih berupaya untuk terus bermutasi dan merebak, maka risiko ancamannya masih tinggi.

“Selalu saya tegaskan bahawa deklarasi pandemik adalah di bawah kuasa WHO, tergantung kepada penilaian mereka dan tidak hanya tergantung kepada satu dua negara sahaja tapi juga bicara setidaknya sepertiga dari wilayah dunia.

“Jadi transisi itu adalah juga salah satu adanya fasa pemulihan, tapi transisi bukan bererti pandemik sudah selesai. Ini terbukti dengan sekarang kita tahu bahkan untuk kes-kes kesakitan bahkan mortaliti itu tetap terjadi,” jelas beliau menyuarakan pendapat dalam wawancara bersama program Agenda AWANI baru-baru ini.

Ketika ini pun, katanya, sudah wujud varian baharu, yakni Omicron XE yang dikesan di Britain pada Januari tempoh hari dan dikhabarkan sudah sampai ke Taiwan dan Thailand.

Dr. Dicky berkata, sekiranya terlalu awal melonggarkan segala-galanya, beliau khuatir letusan gelombang baharu akan wujud dan mengheret kita lebih lama dalam peperangan menentang COVID-19 ini.

Juesteru, tegasnya, setiap pihak perlu terus memainkan peranan masing-masing, baik pemerintah mahupun rakyat untuk berganding bahu terutamanya dalam mematuhi protokol kawalan pencegahan serta mendapatkan vaksinasi penuh sehingga tiga dos sesegera mungkin.

“Sayangnya banyak negara di dunia termasuk negara-negara ASEAN, usaha ‘testing and tracing’ serta capaian vaksinasinya menurun dan ini bahaya.

“Sebetulnya, salah satu sebab mengapa ia berlaku kerana strategi komunikasi risiko yang dilakukan oleh banyak negara terlalu mengedepankan optimisme dan euforia berlebihan sehingga diterima khalayak bahawa ‘ia sudah berakhir, kita sudah berjaya dan tinggalkan saja,” tambah beliau.

Justeru tegasnya, pemerintah seharusnya menyampaikan mesej dengan jelas, nyata dan terang bahawa benar sudah ada pemulihan tetapi ancaman baharu masih ada dan kita perlu terus berusaha supaya tahap imuniti sehingga 90 peratus akhirnya dapat dicapai di samping terus mempergiat usaha mengesan dan menjejak jangkitan sepanjang masa.

Selain itu, katanya, isu kepincangan komunikasi, infodemik dan penyebaran teori konspirasi tidak boleh dibiarkan dan perlu dibasmi.

“Banyak negara membiarkannya, itu berbahaya kerana akhirnya ia akan menular dan membuat orang tidak mahu lagi mendapat vaksinasi kerana pelbagai alasan,” ujar beliau lagi.

Kandungan temu bual bersama Dr. Dicky dalam program Agenda AWANI yang dihoskan oleh Nazri Kahar boleh ditonton di sini:

Harus diingat, pandemik belum berakhir - Pakar epidemiologi


Agenda AWANI: Fasa peralihan ke endemik dan varian baharu