SHAH ALAM: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa hukum merenjis atau membilas kenderaan dengan air yang dibaca ruqyah mengandungi ayat al-Quran dan zikir adalah dibenarkan serta diharuskan dalam syarak.

Penjelasan itu dibuat menerusi hantaran di Facebook susulan video tular yang memaparkan tindakan seorang ulama dari Pattani, Thailand merenjis air ke kereta sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan warganet.

“Ia merupakan satu cara untuk melakukan ruqyah seperti yang disebutkan para ulama. Hujah bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah melakukannya tidak boleh diterima kerana tidak semestinya perkara yang ditinggalkan mereka ini terus menjadi haram.

“Bahkan, terdapat banyak perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat tetapi masih dalam hukumnya yang asal iaitu sunat dan harus.

“Jadi, perbuatan tersebut bukanlah satu amalan yang khurafat dan ia tidak bertentangan dengan syariat,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini, video tular berdurasi 45 saat itu memaparkan tindakan seorang ulama merenjis air ke kereta yang dipercayai baharu dibeli.

Tindakan itu telah mencetuskan polemik dalam kalangan warganet kerana menganggap perbuatan tersebut khurafat yang tidak dilakukan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat.

Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar bagi menjaga diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diinginkan seperti kecurian, kemalangan dan penyakit ain serta seumpamanya.

“Berkaitan penyakit al-Ain secara khusus, Nabi SAW pernah menyebut bahawa ia sesuatu yang benar dan apabila seseorang diminta untuk mandi bagi menyembuhkan penyakit tersebut, maka hendaklah dia mandi,” ujarnya.

Merujuk petikan daripada kitab Mausu'ah Syar'iyyah fi Ilm al-Ruqa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa salah satu bentuk usaha dan ikhtiar juga adalah dengan memandikan atau membilas dengan air berdasarkan sabda Nabi SAW.

Katanya, terdapat banyak perkara yang harus dilakukan, namun Nabi SAW dan para sahabat tidak melakukannya.

“Perbahasan ini disebutkan sebagai al-Tark iaitu sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sama ada dengan tujuan tertentu atau tanpa tujuan.

“Sesetengah golongan sengaja menimbulkan kekeliruan dengan menjadikannya sebagai hujah bahawa jika sesuatu itu baik sudah tentu Nabi SAW dan para sahabat terlebih dahulu akan melakukannya sedangkan ia tidak benar.

“Berkaitan hal ini, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan dalam kitabnya, Husn al-Tafahhum wa al-Dark li Mas’alat al-Tark bahawa banyak perkara yang ditinggalkan Rasulullah SAW dan perkara ini tidak menjadi haram atas pelbagai sebab,” jelasnya. - Sinar Harian