MALAYSIA

Hasil cukai nikotin jauh rendah banding beban kos rawatan pesakit berkait penggunaan vape

Umavathi Ramayah 06/11/2025 | 00:00 MYT
Dr Dzulkefly berkata, purata kos rawatan seorang pesakit dianggarkan mencecah RM150,000 dengan tempoh kemasukan ke hospital sekitar 12 hari. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Sebanyak enam kes kecederaan paru-paru serius berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape direkodkan sejak Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan pada 1 Oktober tahun lalu hingga September lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, secara keseluruhan sebanyak 46 kes seumpamanya direkodkan di negara ini sejak 2019 hingga kini, termasuk yang dikenali sebagai kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape (EVALI).

Beliau berkata, hasil kutipan cukai nikotin melalui duti eksais ke atas cecair atau gel bernikotin bagi rokok elektronik yang mula dilaksanakan pada 1 April 2023 adalah jauh lebih rendah berbanding beban kos rawatan pesakit yang terpaksa ditanggung kerajaan.

"Bagi tempoh April 2023 hingga Ogos lalu, jumlah kutipan keseluruhan duti eksais itu adalah sebanyak RM209.5 juta. Namun angka berkenaan masih tidak mampu menampung anggaran kos rawatan pesakit EVALI berjumlah RM223.5 juta bagi tahun lalu sahaja.

"Purata kos rawatan seorang pesakit dianggarkan mencecah RM150,000 dengan tempoh kemasukan ke hospital sekitar 12 hari.

"Situasi ini jelas menunjukkan hasil cukai vape tidak dapat menampung kos rawatan akibat komplikasi serius berkaitan penggunaan rokok elektronik," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr Alias Razak (PN–Kuala Nerus) mengenai statistik kes penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik selepas penguatkuasaan Akta 852 serta jumlah kutipan cukai nikotin berbanding kos rawatan pesakit dalam tempoh sama.

Dzulkefly memberitahu, Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuh tindakan kawal selia termasuk pemantauan rapi penggunaan vape dan pelaksanaan menyeluruh Akta 852 bagi melindungi kesihatan awam daripada risiko bahaya produk berkenaan.

Penyakit EVALI ialah kecederaan paru-paru susulan penggunaan rokok elektronik atau produk vape dengan gejala seperti batuk, sesak nafas, demam dan sakit dada yang berlaku apabila bahan kimia dalam cecair vape menjadi panas dan menghasilkan bahan merosakkan lapisan paru-paru.

Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pelanggaran undang-undang produk merokok melalui WhatsApp di talian 010-860 8949 atau laman sesawang www.JomLapor.com.




#Dzulkefly Ahmad #Kementerian Kesihatan #vape #kecederaan paru-paru