Kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai program bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan berkata ini kerana rakyat mahu melihat hasil GST kembali kepada mereka dalam pelbagai bentuk.

Kerajaan katanya perlu memperbanyakkan program meningkatkan pendapatan rakyat dengan menggunakan dana hasil kutipan GST sebelum ini bagi membuktikan kerajaan mengembalikan hasil cukai itu kepada rakyat semula.

"Mereka tidak akan marah lagi kepada kerajaan seperti sebelum ini kerana kerajaan manfaatkan cukai tersebut bagi membantu rakyat meningkatkan pendapatan menerusi pelbagai cara.

"Program seperti e-rezeki dilancarkan sebelum ini dapat membantu meningkatkan pendapatan rakyat," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2015 peringkat Zon Utara hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan hasil kutipan GST kepada rakyat pada pembentangan Bajet 2016 Jumaat depan.

Sementara itu, Ahmad berkata pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2015 melibatkan empat zon iaitu zon Utara, Timur, Tengah, Selatan dan Sabah berlangsung mulai hari ini hingga 1 Nov ini.