Hasil kutipan SST petroleum perlu bangunkan kemudahan asas rakyat - Pakar ekonomi

Astro Awani
Disember 8, 2020 11:33 MYT
Dr Harry berkata, langkah itu dilihat memberi kesan signifikan kepada rakyat secara keseluruhan terutamanya penduduk di kawasan luar bandar.
KUALA LUMPUR: Kemudahan asas perlu diberi perhatian Kerajaan Sarawak dalam usaha membangunkan negeri itu menggunakan hasil kutipan cukai jualan negeri (SST) ke atas produk petroleum.
Langkah itu dilihat memberi kesan signifikan kepada rakyat secara keseluruhan terutamanya penduduk di kawasan luar bandar.
Menurut Pensyarah Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Prof Madya Dr Harry Entebang, dengan pelaksanaan projek kemudahan asas ini, rakyat akan merasai hasil negeri tersebut secara menyeluruh dan berkesan.
“Jika kita melihat kepada aspek keperluan rakyat itu sendiri, negeri Sarawak sangat luas. Saya boleh katakan kemudahan di kawasan pedalaman amat kurang.
“Pendapat saya (kerajaan negeri) fokus kepada kemudahan asas seperti bekalan air bersih, letrik dan jalan raya. Ketiga-tiga perkara ini perlu dibangunkan terutama di pedalaman Sarawak,” jelas beliau ketika dihubungi oleh Astro AWANI.
Selain itu, Dr Harry turut mencadangkan kerajaan negeri agar mewujudkan kemudahan kesihatan seperti klinik dan sekolah jika mempunyai lebihan kutipan hasil SST produk petroleum walaupun kedua-duanya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Bukan itu sahaja, beliau turut mencadangkan agar satu pusat keusahawanan diwujudkan bagi para belia yang masih menganggur akibat COVID-19.
“Di sinilah saya percaya dengan adanya benda-benda ini lebihan kutip SST ini dapat membantu rakyat di negeri ini terutama di luar bandar.
“Jadi apa yang hendak rakyat rasakan ialah bagaimana mereka dapat menikmati kekayaan negeri ini terutama mereka yang kurang pendapatan," katanya.
Selain itu, Dr Harry turut mencadangkan agar kerajaan negeri mempunyai pendekatan untuk menarik lebih ramai pemain indutsri minyak dan gas untuk melombong di Sarawak.
“Jika lebih banyak industri hiliran diwujudkan di Sarawak, produk petroelum dan gas yang diproses di negeri ini dieksport keluar sekali gus ini bakal menambahkan hasil SST kepada kerajaan negeri," katanya.
BACA: Perjanjian Sarawak-Petronas bakal rancakkan pembangunan industri petroleum - PM
#SST #cukai petroleum #petroleum #ekonomi #Sarawak #Petronas #kerajaan #cukai #minyak #pembangunan Sarawak