KUALA LUMPUR:Perjanjian penyelesaian komersial yang ditandatangani kerajaan Sarawak dan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada Isnin bakal membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian itu juga bakal membuka pelbagai peluang perniagaan serta pembangunan industri yang berkaitan di negeri itu.

Menurut beliau, penyelesaian isu berkaitan pengurusan minyak dan gas, termasuk persetujuan berhubung pengenalan cukai jualan petroleum di Sarawak yang dicapai sebelum ini, akan membolehkan kerajaan negeri  meluaskan kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Perjanjian yang dimeterai hari ini juga membolehkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), iaitu anak syarikat milik kerajaan Sarawak, memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas.

“Selain itu, ia bakal membuka peluang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat di dalam industri khidmat minyak dan gas di Sarawak untuk menceburi lebih banyak bidang perniagaan berkaitan industri tersebut.

“Pada masa yang sama, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, persetujuan dan permuafakatan kedua-dua pihak dalam memeterai perjanjian komersial itu melambangkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perkara berkaitan petroleum secara bersama.

“Diharapkan penyelesaian isu ini bakal membuka lembaran baharu dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, selain memastikan pembangunan wilayah yang inklusif agar nikmat pembangunan negara dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia secara adil dan saksama,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis memandatangani perjanjian penyelesaian komersial antara Petronas dan Kerajaan Sarawak.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Petronas diwakili Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

Pada Mei lalu, kerajaan Sarawak, kerajaan Persekutuan dan Petronas telah bersetuju untuk menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan cukai jualan negeri (SST) tanpa melibatkan tindakan undang-undang.

Malah sebelum ini tindakan undang-undang yang dilakukan oleh kedua-dua pihak telah digugurkan pada Ogos, selepas mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan perkara itu di meja rundingan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN).