KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM315,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam.

HASiL dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu dikumpul daripada kakitangannya di seluruh negara sebagai tanda solidariti serta semangat kemanusiaan mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin, selain membantu mengurangkan penderitaan mereka yang terkesan akibat konflik di Semenanjung Gaza.

"Ia juga merupakan manifestasi sokongan dan solidariti HASiL bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam usaha membantu misi kemanusiaan, sekali gus memupuk semangat Malaysia MADANI yang menyokong keamanan sejagat," menurut kenyataan itu.

Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL Datuk Seri Dr. Mohd Nizom Sairi kepada wakil Kementerian Luar Negeri Jeremiah Oliver Jitos di bangunan Menara HASiL, Cyberjaya hari ini,

Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada 24 Oktober lepas dan dibuka hingga 10 Nov lepas.

-- BERNAMA