MALAYSIA
Dokumen tambahan: Mahkamah tolak permohonan Najib pinda semakan kehakiman

Najib, 72, memohon perintah mandamus supaya responden mengesahkan dan mendedahkan kewujudan dokumen bertarikh 29 Jan 2024 itu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda permohonan semakan kehakimannya berhubung kewujudan satu dokumen tambahan yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk meminda semakan kehakimannya berkaitan dokumen tambahan tahanan rumah.
- Permohonan Jabatan Peguam Negara bagi perintah larangan (gag order) turut ditolak, dengan AGC diarahkan membayar kos RM20,000 kepada Najib.
- Najib kini menjalani hukuman enam tahun penjara di Penjara Kajang selepas sabit kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
“Sebaliknya, terdapat dakwaan yang cuba ditarik daripada fakta ini, sedangkan dakwaan tersebut kini telah dilangkaui dengan kebenaran memfailkan semakan kehakiman, yang membolehkan hal ini dikemukakan dan memerlukan jawapan daripada responden, sekali gus jelas menjejaskan mereka.
“Bagi fakta yang berbangkit, kedua-dua afidavit Mohd Nizar, yang telah dibenarkan untuk dimasukkan sebagai bukti, sudah memadai. Oleh itu, lampiran 98 (permohonan pindaan) ditolak,” katanya.
Dalam pada itu, mahkamah turut menolak permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan perintah larangan (gag order) bagi menghalang sesiapa daripada membincangkan isu berkaitan permohonan semakan kehakiman tersebut.
“Saya tidak berpendapat bahawa mengeluarkan perintah larangan akan menangani risiko sebenar dan besar terhadap keadilan perbicaraan,” kata hakim, sambil menambah bahawa semakan kehakiman Najib berkaitan perintah tambahan itu sudah pun menjadi perbincangan awam secara meluas.
Hakim turut berkata sudah wujud langkah alternatif yang mencukupi untuk menangani kebimbangan yang cuba disekat melalui perintah larangan itu.
“Terdapat undang-undang fitnah dan undang-undang penghinaan mahkamah yang boleh digunakan. Secara keseluruhan, saya tidak mendapati perintah larangan itu perlu. Maka, permohonan ini ditolak,” katanya sambil memerintahkan AGC membayar kos RM20,000 kepada Najib.
Najib, 72, memohon perintah mandamus supaya responden mengesahkan dan mendedahkan kewujudan dokumen bertarikh 29 Jan 2024 itu.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah supaya sekiranya dokumen tambahan itu terbukti wujud, semua atau mana-mana responden diarahkan untuk menguatkuasakannya serta-merta dan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman.
Pada 3 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, dengan alasan bahawa empat afidavit sokongan yang dikemukakan, termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, merupakan hearsay dan tidak boleh diterima sebagai bukti.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas sabit kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi pada awalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, keputusan yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Namun, petisyen pengampunan dirajanya pada 2 Sept 2022 menyebabkan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.
— BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami