ALOR SETAR: Sindiket penipuan yang menyamar sebagai kenalan untuk meminjam wang daripada mangsa dikesan mula menggodam akaun Telegram persendirian daripada senarai kenalan individu terbabit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Korporat / Kewangan Kedah, Deputi Superintendan Mohd Norfadzly Mohd Hashim berkata, modus operandi terbaharu sindiket berkenaan dikesan kerap digunakan sejak awal tahun di negeri ini.

Katanya, sindiket akan menyamar sebagai kenalan kepada mangsa dengan menggunakan nombor telefon serta gambar profil untuk meminjam wang daripada mangsa.

Sebelum ini, modus operandi penjenayah adalah menyamar sebagai kenalan dan menghubungi mangsa menerusi platform media sosial seperti WhatsApp serta Facebook untuk meminta wang daripada mangsa.

Namun, sejak awal tahun ini, sindiket penyamaran tersebut didapati mula menggodam akaun Telegram milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh dari telegram untuk meminjam wang.

“Modus operandi cara pinjam duit itu dia akan berhubung dengan rakan-rakan kontak kita, akan minta pinjam duit… (konon) ada masalah, tolong masukkan di satu akaun dia akan bagi akaun baharu kebiasaannya untuk kita pindahkan (wang).

“Kalau jenis yang tidak periksa dulu, percaya bulat-bulat, mereka akan pindahkan (wang) yang pertama, dia (scammer) akan buat lagi, dia akan minta lagi… dia kata tak cukup perlukan (wang)
sikit lagi, masuk lagi. Dia tahu orang ini (mangsa) dia boleh ‘makan’ (terpedaya) dan dia akan teruskan lagi,” kata Mohd Norfadzly.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Menurutnya, pemilik Telegram terbabit hanya menyedari telah digodam apabila mendapati akaun mereka tidak dapat diakses ataupun selepas diberitahu oleh kenalan mereka yang telah dihubungi sindiket tersebut menggunakan profil mangsa.

Beliau berkata, kejadian ditipu oleh 'scammer' yang menyamar sebagai kenalan menerusi media sosial untuk meminjam wang sebanyak 40 kes membabitkan kerugian RM50,000 sejak Januari hingga Rabu (semalam).

Manakala pada tahun 2021, hanya lapan kes membabitkan nilai kerugian RM2,650.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna disarankan untuk mengaktifkan fungsi verifikasi dua langkah yang ada pada akaun Telegram masing-masing untuk mengurangkan risiko digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Melalui tetapan ini tahap keselamatan Telegram dapat dipertingkatkan sekali gus mengelakkan penjenayah daripada mengaktifkan akaun tersebut pada peranti lain.