PUTRAJAYA: Kontrak sejumlah RM185 juta kepada syarikat HeiTech Padu Berhad ditawarkan sebelum bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menjadi pengarah atau pemilik syarikat itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat kelulusan tender pada 2 Februari 2024 sedangkan Farhash Wafa Salvador hanya membeli saham syarikat itu sebanyak 15.9 peratus pada 16 Mac lalu.

Beliau memberitahu, Lembaga Perolehan Kementerian Pengangkutan (MOT) bersidang pada 24 November 2023 dan memperakukan syarikat berkenaan sebagai tawaran terbaik berdasarkan harga yang munasabah dan terendah yang melepasi kesemua peringkat penilaian sebelum dikemukakan untuk kelulusan muktamad Kementerian Kewangan pada 4 Disember 2023.

"MOT melaksanakan tender terbuka bagi penggabungan kedua-dua perkhidmatan tersebut pada 21 Jun 2023. Tiga syarikat telah mengambil bahagian dalam sistem tender terbuka tersebut. Ketiga-tiga syarikat lulus dalam syarat teknikal dan kewangan.

"Ini bermaksud keputusan tender ini telah dibuat sebelum Datuk Farhash membeli saham dalam HeiTech Padu Berhad. Pembelian saham adalah hak masing-masing.

"Jadi apa yang ingin ditegaskan oleh Perdana Menteri adalah selepas Datuk Farhash menjadi pemilik saham HeiTech Padu, setakat ini tiada sebarang kontrak diberikan kepada syarikat berkenaan.

"Jadi Perdana Menteri dan Kabinet mengambil perhatian yang serius membabitkan sindiran-sindiran yang cuba mengaitkan kononnya kontrak ini ditawarkan kepada  HeiTech Padu kerana ada seorang yang hubung kait dengan Perdana Menteri.

"Kalau masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan penjelasan ini, Perdana Menteri mengalukan-alukan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan terperinci dilakukan," katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.

Syarikat HeiTech Padu Berhad diberi kontrak penggabungan perkhidmatan dalam talian, MySikap serta Perkakasan dan Perisian Sistem Kerangka Utama (Mainframe) untuk semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Anthony Loke menjelaskan, tawaran harga (tidak termasuk cukai perkhidmatan) daripada ketiga-tiga syarikat pembida ialah syarikat pertama (RM185,076,900), syarikat kedua (RM186,885,611.64) dan syarikat ketiga RM199,513,872.

Katanya, anggaran harga siling bagi projek ini adalah RM207,315,469.

MySikap merupakan sistem informasi kenderaan dan pemandu merangkumi perkhidmatan atas talian pendaftaran kenderaan motor, pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor dengan sebanyak 1,300 jenis urus niaga, manakala Mainframe adalah perkakasan server yang menyimpan data-data MySikap.

Tambah beliau, kontrak MySikap dan Mainframe sebelum ini dibuat secara berasingan dan rundingan terus pada tahun 2014.

Bagaimanapun, pada Mac 2023, JPJ mencadangkan penggabungan kedua-dua komponen tersebut kepada satu tender supaya permudahkan pengurusan aspek kawalan, pemantauan dan pengurusan projek secara koletif oleh satu syarikat yang sama.