MELAKA: 'Keseronokan' empat lelaki dipercayai dari kumpulan kongsi gelap, 'Geng 36', melakukan samun dengan menggunakan kenderaan mewah, berakhir apabila mereka dicekup pihak polis.

Lebih licik, kesemua suspek berkenaan dikatakan menggunakan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas kapasiti menjalankan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melepasi sekatan jalan raya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kesemua suspek berusia 34 hingga 37 tahun ditahan tiga hari selepas melakukan samun berkumpulan di sebuah kondominium mewah di Klebang dan melarikan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM1.2 juta.
 

Abdul Majid berkata, dalam kejadian pada 4 Jun lalu, mangsa, seorang ahli perniagaan bersama isteri berusia 42 tahun telah diikat sekumpulan empat lelaki bersenjatakan pisau sebelum menyamun pelbagai barang kemas, wang tunai dan sebuah kenderaan utiliti sport (SUV) jenis Range Rover dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

Mangsa kemudian membuat laporan keesokan harinya dan hasil siasatan mendapati, mangsa dikunjungi empat lelaki tidak bertopeng kira-kira jam 8.30 malam, sebelum kumpulan itu bertindak mengacukan senjata tajam dan mengikat mangsa bersama isteri serta dua anak mereka berusia 8 dan 9 tahun.

"Pihak polis terima laporan dari seorang lelaki yang mengatakan pada jam 8.30 malam di kediamannya di Klebang, Melaka, bahawa dia dan isterinya telah disamun oleh empat lelaki yang menggunakan parang dan mereka juga diikat.

"Nilai barang yang disamun adalah RM1.2 juta yang terdiri daripda barang kemas, duit dan juga sebuah Range Rover. Kes ini kita siasat di bawah Seksyen 395 dan 379 (a) Kanun Keseksaan atas kesalahan samun dan curi kenderaan," ujar Abdul Majid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Jumaat.

Mengulas lanjut, ujarnya, kesemua suspek berkenaan kemudian dicekup kira-kira jam 3.45 petang Isnin lalu di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Jelasnya, hasil serbuan berjaya menemui barang-barang yang telah disamun, termasuk SUV jenis Range Rover berwarna putih. Selain itu, pihaknya turut merampas dua lagi kenderaan yang digunakan untuk melakukan samun iaitu Toyota Vellfire dan Toyota Hilux.

Kesemua suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.