SUNGAI PETANI: Helah seorang lelaki menjual lemang di depan rumah namun sebaliknya di belakang khemah menjalankan aktiviti penjualan dan pengedaran dadah jenis ganja terbongkar apabila dia ditahan bersama tiga individu lain pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil intipan dan risikan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah melakukan serbuan pada jam 6 petang mendapati peniaga lemang, berusia 62 tahun sedang berurusan dengan pelanggan lelaki, berusia 33 tahun di belakang gerainya.

Beliau berkata ketika serbuan turut ditahan dua pekerja lelaki berusia 18 dan 20 tahun.

"Aktiviti penjualan lemang tu adalah sah dan dia menjalankan perniagaan tersebut dan dia ada aktiviti perniagaan di belakang. Dia berselindung di sebalik perniagaan yang sah ini," katanya.

Tambahnya, selepas pemeriksaan, polis menemui 17 ketulan ganja mampat di dalam beg berwarna biru dalam gerai terbabit yang dianggarkan seberat lebih 18 kilogram (kg) bernilai RM45,125.

Katanya, suspek berusia 33 tahun yang ditahan dipercayai pelanggan yang datang ke gerai itu untuk mengambil bekalan ganja berkenaan untuk pasaran tempatan.

"Siasatan awal kita mendapati bahawa suspek yang pertama dan kedua adalah dalang aktiviti pengedaran dadah ini manakala suspek yang ketiga dan keempat iaitu yang berusia 18 dan 20 tahun masih dalam siasatan lanjut untuk kita melibatkan dia.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik juga dalam tindakan untuk mengesan saki baki individu-individu yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah ini," katanya lagi.

Zaidy berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Jelasnya, dalam serbuan itu, polis turut menyita kereta milik suspek pertama bernilai RM39,800 serta wang tunai RM550.

Katanya, semakan rekod mendapati, peniaga lemang itu mempunyai dua rekod jenayah lampau dan suspek kedua yang masih bujang dan tidak bekerja mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

Sementara suspek keempat pula bekerja sebagai buruh mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan dikehendaki polis.

Suspek pertama dan kedua direman bermula 6 April hingga 12 April manakala dua lagi suspek direman bermula 6 April hingga 10 April.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.