KUALA LUMPUR: Hentikan layanan istimewa kepada banduan pembesar yang melakukan jenayah besar.

Itu tegas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.

Dalam hantaran di laman sesawangnya, serambichedet.com, Dr Mahathir mendakwa, dunia mentertawakan sekiranya banduan berkenaan hadir ke Dewan Rakyat untuk menasihat kerajaan bagaimana untuk mentadbir negara.

Justeru, kata beliau, tidak hairanlah berlaku huru-hara dalam negara.

Jelasnya, sebelum ini Tan Sri gMuhyiddin Yassin dijatuhkan kerana hilang majoriti dan diganti dengan Datuk Seri Ismail Sabri.

"Kenapa kehilangan sokongan, Ismail tidak letak jawatan dan partinya naikkan Perdana Menteri lain. Tidak perlu bubar Parlimen," kata Dr Mahathir lagi.

Dalam hantaran sama, beliau menyuarakan gesaan agar layanan istimewa kepada banduan pembesar yang melakukan jenayah besar dihentikan sedangkan banduan yang curi RM10 digari dan dipenjara serta merta.

Sebelum ini, Jabatan Penjara menolak permohonan Najib untuk hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.