Skip to main content

Malaysia

Henti pembakaran terbuka - JBPM Sarawak

Sumber: Adobe Stock
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggesa orang ramai supaya menghentikan amalan pembakaran terbuka susulan peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka di negeri ini. - Gambar hiasan

SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggesa orang ramai supaya menghentikan amalan pembakaran terbuka susulan peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka di negeri ini.

Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, statistik terkini menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan, khususnya bermula 22 Mac hingga mencapai kemuncak pada 25 Mac.

Advertisement

“Dalam tempoh 15 hingga 26 Mac, kita melihat corak turun naik pada peringkat awal, namun berlaku lonjakan ketara bermula 22 Mac. Kemuncaknya pada 25 Mac dengan sebanyak 35 kes direkodkan dalam sehari, iaitu pada tahap yang sangat tinggi.

“Kebanyakan kes berlaku akibat aktiviti pembakaran bagi tujuan pertanian selain perbuatan pembakaran secara sengaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun jumlah kes menurun sedikit kepada 24 kes pada 26 Mac, situasi itu masih berada pada tahap berjaga-jaga dan memerlukan langkah pencegahan segera oleh semua pihak.

Dari segi taburan mengikut bahagian, Miri dikenal pasti sebagai kawasan paling kritikal dengan 59 kes kebakaran terbuka direkodkan dalam tempoh 12 hari itu, hampir dua kali ganda berbanding Sibu yang mencatatkan 29 kes.

Selain itu, Bintulu (24 kes) dan Mukah (23 kes) turut menunjukkan tahap risiko sederhana yang memerlukan pemantauan rapi. Kuching pula merekodkan 11 kes, diikuti Betong (lapan kes) dan Sri Aman (lima kes).

Beberapa kawasan lain seperti Serian, Samarahan, Sarikei dan Kapit mencatatkan jumlah kes yang lebih rendah iaitu antara tiga hingga empat kes, manakala Limbang tidak merekodkan sebarang kes dalam tempoh berkenaan.

Tiong menegaskan, pembakaran terbuka terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering, boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat serta menjejaskan kualiti udara.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka termasuk pembakaran sampah atau pembersihan tanah. Tindakan tegas boleh dikenakan terhadap individu yang melanggar larangan ini,” katanya.

Beliau turut menggesa komuniti setempat agar segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak bomba bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video