KUALA LUMPUR:Amalan politik berasaskan kaum perlu dihentikan di negara ini kerana ia boleh menjejaskan hubungan antara masyarakat di negara ini

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia adalah negara yang bermasyarakat majmuk dan mempunyai sentimen tersendiri.

"Saya berpandangan ini tidak boleh berterusan, walaupun tak dapat hapuskan secara keseluruhan isu politik ras ini, saya harus tangani ia sedaya mungkin.

"Ini kerana negara kita terdiri daripada masyarakat majmuk yang mempunyai sentimen masing-masing, justeru ia mampu mengundang kesan tidak baik," kata pada Majlis Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama Kuala Lumpur 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin berkata, pihaknya mengakui terdapat kenyataan khususnya di media sosial yang mampu mengguris sensitiviti sesetengah masyarakat.

Justeru, tegas Perdana Menteri, isu berkenaan perlu diatasi dengan segera.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberi contoh berhubung isu pengagihan kekayaan di kalangan rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu yang sebahagiannya masih beranggapan mereka belum cukup terbela.

"Sebelum ini kita ada Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi kita teliti banyak ketirisan dan ada perkara yang tidak baik berlaku.

"Rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu timbul, namun perkara sama juga dilihat berlaku membabitkan masyarakat Cina dan India.

"Segelintir mereka tidak berupaya dan miskin, selain marah pendapatan rendah, justeru dasar kita sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN) ialah untuk tangani segenap kelemahan ini.

"Tetapi kita tidak mahu dilihat seolah-olah hanya membela satu pihak saja, manakala kaum lain rasa mereka dilupakan, sebenarnya sukar untuk elak tanggapan sebegini," katanya lagi.