Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sudah mengeluarkan fatwa bahawa vaksin yang dihasilkan di negara ini adalah halal dan telah mendapat kelulusan daripada semua pihak.

Justeru, golongan antivaksin yang membawa perkara itu kepada perdebatan diminta untuk berhenti berbuat demikian, kerana jika suntikan vaksin dihindar semata-mata kerana terpengaruh dengan pandangan itu, ia bakal menjejaskan ketahanan kanak-kanak terlibat apabila mereka dewasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara tersebut telah dibincangkan di peringkat Kabinet dan kementeriannya selain telah dirujuk ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Vaksin yang kita buat di Malaysia ini bukan vaksin yang haram, ia adalah yang telah diluluskan jadi tidak timbul isu itu semua.

“Kita ada statistik mereka yang tak ambil imunisasi ini, mereka akan mati dalam keadaan penyakit-penyakit biasa kerana tidak ada ketahanan,” katanya.

Mujahid berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Muhibbah Tahun Baru Cina di Subang Jaya pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

KKM akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.
Dalam pada itu Mujahid memberitahu, pembuatan vaksin sama ada dalam Islam atau di kementeriannya telah jelas berpandu kepada fatwa.

“Kami telah jelas berpandu kepada fatwa yang ada hukumnya harus dan boleh jadi wajib jika ia menjejaskan kesihatan anak itu dan tidak timbul isu haram dan sebagainya,” katanya.