Pemimpin serta ahli UMNO diminta membuktikan rasa cinta dan kasih mereka terhadap parti dengan meningkatkan usaha tanpa berbelah bahagi.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yakin parti itu akan lebih berjaya jika semua anggotanya memainkan peranan dan tanggungjawab menghidupkan semua cawangan UMNO di seluruh negara.

"Setiap pemimpin cawangan perlu berasa bertanggungjawab. Kalau 20,000 cawangan UMNO bergerak kita akan berjaya," kata Najib dalam ucapannya pada majlis Sambutan Ulangtahun UMNO Ke-68 di sini malam tadi.

Najib yang juga Perdana Menteri menegaskan untuk terus menjadi sebuah parti yang unggul UMNO juga perlu melihat semula kekuatan dan memperbaiki sebarang kelemahan dalam lanskap politik yang kian mencabar.

"Kalau kita bersikap sedemikian, kita mempunyai sikap yang terbuka maka lebih mudah untuk kita melihat bagaimana kita boleh melakukan penambahbaikan kepada diri kita dan kepada parti kita."

Melihat kepada keputusan pilihan raya umum 2013, UMNO antara lain perlu berusaha meningkatkan sokongan di kalangan penduduk bandar.

"UMNO tidak boleh terus bergantung semata-mata kepada kawasan luar bandar sahaja, tetapi perlu beri perhatian kepada kawasan semibandar dan apa yang dikatakan kampung-kampung bandar."

"Wujudnya kawasan perumahan di bandar tanpa UMNO adalah perkara yang harus diberi perhatian oleh kita semua," tegas Najib.

UMNO pada masa sama perlu membuka ruang yang lebih luas bagi menggalakkan golongan intelek serta ulama menyertai parti itu.

Ini termasuklah meningkatkan sokongan daripada generasi muda yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan parti di masa depan.

Najib bagaimanapun menjelaskan UMNO juga mempunyai banyak sebab untuk berasa bangga hari ini.

Antaranya banyak parti politik yang seusia UMNO tidak lagi segagah parti itu yang terus berkuasa sehingga kini.

"Kita masih lagi gagah kerana berjuta-juta ahli UMNO yang berbakti, bersetia dan berkhidmat tanpa mengenal penat lelah dan turun pada setiap kali pilihan raya."

Pada majlis itu Najib turut menyampaikan Anugerah Tokoh Melayu Terbilang kepada Tan Sri Hassan Azhari, seorang tokoh agama dan invidu yang melaungkan azan sewaktu pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Turut menerima anugerah ialah Tan Sri Dr Salma Ismail yang merupakan wanita melayu pertama memperoleh kelayakan doktor di Malaya pada 1947.