JOHOR BAHRU: Isu perbezaan gaji, kekal menjadi cabaran utama dalam membendung bakat tempatan berhijrah ke luar negara, khususnya ke Singapura, menurut Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp).

Naib Presiden (Graduan, Diaspora dan Hubungan Industri) TalentCorp Mohamad Nazrul Aziz berkata setakat ini kira-kira 60 peratus daripada diaspora Malaysia di luar negara iaitu seramai 1.13 juta orang berada di republik itu.

Bagaimanapun beliau berkata TalentCorp yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah merangka pelbagai strategi bagi memastikan tenaga kerja berkemahiran akan terus kekal menyumbang dan berbakti dalam negara.

"Tukaran mata wang asing kekal menjadi cabaran utama dalam soal ini, ia adalah faktor di luar kawalan namun ada beberapa strategi dirangka, dan usaha ini memerlukan langkah serampang dua mata yang dilaksanakan secara serentak.

"Ia termasuk inisiatif MyHeart, bertujuan mengekalkan hubungan baik dengan golongan diaspora dan mencari peluang kerja tempatan bersesuaian untuk mereka, selain MyNext yang bertujuan mengekalkan tenaga berkemahiran tempatan," katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Geran Dana Kebolehpasaran Graduan MyNext di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini semalam.

Majlis yang dirasmikan Setiausaha Bahagian Dasar KSM S. Siva Kumar itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Thomas Mathew dan Pengarah Pusat Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Che Rozid Mamat.

Sementara itu, Siva Kumar berkata KSM menerusi TalentCorp memperuntukkan geran RM2 juta kepada Universiti Awam (UA) bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar dan kesediaan pelajar untuk pekerjaan bagi menangani isu pengangguran dan ketidakpadanan kerjaya.

Beliau berkata geran itu disediakan kepada UA yang aktif selain memenuhi model kriteria kerjasama yang memberi impak maksima kepada pelajar, dengan amaun maksimum RM100,000 dalam tempoh tiga tahun untuk setiap institusi.

"UTM merupakan UA pertama yang menerima geran ini dan KSM berharap semua UA dapat merebut peluang ini untuk sama-sama kita meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan tempatan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja negara," katanya.

Sementara itu, Che Rozid berkata UTM akan menggunakan geran tersebut dengan melaksanakan program 'upskilling' dan 'reskilling' graduan institusi itu.

"Program ini akan menyasarkan graduan yang belum mendapat pekerjaan selepas tempoh enam bulan tamat pengajian. Kursus yang diberikan berkait dengan teknologi terkini yang dimahukan industri, termasuklah teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis data," katanya.

-- BERNAMA