KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bijak menyesuaikan strateginya dalam mendepani perubahan dasar kuasa-kuasa besar dunia, di samping memastikan kepentingan dan pembangunan ekonomi negara terus terpelihara.
Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah Profesor Emeritus Dr Jomo Kwame Sundaram berkata persaingan kuasa besar yang semakin ketara kini memberi kesan kepada perdagangan, pelaburan, teknologi dan landskap ekonomi global.
“Konflik geopolitik, sekatan ekonomi, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi turut membawa cabaran kepada Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan, pelaburan serta kewangan antarabangsa.
“Perubahan ini mempunyai implikasi terhadap Malaysia khususnya dari segi inflasi, aliran pelaburan asing, kestabilan ringgit serta daya saing ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Eksekutif bertajuk Kuasa Dunia: Implikasi Ekonomi dan Politik Masa Kini Terhadap Malaysia di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini hari ini.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi PNM itu memberi tumpuan kepada perubahan landskap ekonomi dan geopolitik dunia serta kesannya terhadap Malaysia.
Antara fokus perbincangan ialah ketegangan perdagangan antara kuasa besar, keselamatan rantaian bekalan, ketidaktentuan pasaran komoditi serta pembentukan blok ekonomi baharu yang mempengaruhi corak perdagangan dan hubungan ekonomi antarabangsa.
Jomo, yang juga Felow Akademi Sains Malaysia dan Profesor Emeritus Universiti Malaya, pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pembangunan Ekonomi serta Penolong Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO).
KPN menerusi kenyataan memaklumkan program itu disertai 389 peserta secara fizikal dan 483 lagi secara dalam talian terdiri daripada pegawai sektor awam, mahasiswa, pelajar serta masyarakat umum.
Penganjuran Bicara Eksekutif 2026 itu turut bertujuan memperkukuh peranan PNM sebagai institusi rujukan negara dan platform wacana ilmu yang menghubungkan pakar dengan masyarakat dalam membincangkan isu strategik nasional serta antarabangsa.
-- BERNAMA