Maklumat-maklumat awal mengenai trak Hilux baharu sudahpun dibongkar Toyota dan pastinya akan menjadi tumpuan peminat-peminat segmen ini. Acara pelancaran Hilux global ini dilakukan serentak di Australia dan Thailand, sudah pasti mengambil kira faktor negara di utara Malaysia itu sebagai pasaran terbesar di dunia bagi trak.

Hilux generasi ke-lapan direka untuk memberi faktor utiliti yang memang terkenal dengan model ini, dan ditambah dengan keselesaan, keselamatan dan kemudahan yang diharapkan pada sebuah kenderaan moden.

Hilux generasi terkini mempunyai empat pilihan enjin; dua daripadanya adalah unit petrol di mana 4.0 liter V6 adalah serupa dengan pilihan enjin pada Hilux generasi ketujuh. Satu lagi unit petrol pula adalah 2.7-liter empat silinder yang ditambah baik untuk memberi pretasi serta pembakaran bahan api lebih baik.

Dua enjin lagi adalah rekaan baharu, dan membakar diesel: 2.8-liter dan 2.4-liter, kedua-duanya unit empat silinder dan mampu membekal lebih tork daripada enjin 3.0-liter sekarang.

Enjin 2.8-liter menghasilkan sehingga 450Nm manakala versi 2.4-liter pula menjana 400Nm. Kadar pembakaran bahan api juga telah dikurangkan sebanyak 10%. Penjimatan ini turut dibantu oleh kotak gear automatik (dan manual) enam kelajuan baharu yang digunakan. Menariknya mengenai kotak manual ini adalah ia lengkap dengan ‘rev matching’ untuk kelinciran pemanduan.

Pacuan roda termasuk pilihan 4x4 dan 4x2; ini ditambah lagi dengan pilihan ‘twin cab’ ataupun ‘single cab’ untuk struktur kabin.

Sudah pastinya terdapat sedikit perbezaan antara Hilux baharu spesifikasi Australia berbanding Thailand, tetapi dikatakan Toyota Australia memikul tanggungjawab global untuk aspek membangunkan pakej suspensi trak baharu Toyota ini. Antara yang diberi perhatian khusus adalah artikulasi roda lebih baik di samping pengendalian lebih positif walaupun dengan beban berat yang tinggi.

Menyentuh soal itu, Hilux baharu ini mempunyai kapasiti cargo seberat 1,240kg dan berat tunda sehingga 3.5 tan. Saiz tangki telah diperbesarkan ke 80 liter.

Kemampuan ini ditambah lagi dengan kerangka yang diperkuatkan menerusi jumlah kimpalan khusus yang lebih banyak. Penggunaan keluli tegangan tinggi (high tensile steel) turut menyumbang kepada pengurangan berat.

Untuk aspek keselamatan, Toyota melengkapkan trak ini dengan kamera undur, tujuh beg udara, hill-start assist dan traction control. Dengan itu, Toyota menjangka yang model baharu ini akan mendapat markah penuh 5-bintang.

Buat pertama kali, ada juga varian Hi-Rider iaitu model dengan pacuan 4x2 tetapi dengan suspensi tahan lasak serta ketinggian seperti varian 4x4.