GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Himpunan Bantah Kedatangan Trump: Peserta mula beredar dari Kedutaan AS

Shafiqa Azami 03/10/2025 | 11:00 MYT
Ribuan peserta Himpunan Bantah Kedatangan Trump ke Malaysia berarak dari Menara Tabung Haji ke Kedutaan AS, menyatakan sokongan terhadap aktivis GSF. -Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peserta Himpunan Bantah Kedatangan Trump ke Malaysia telah mula beredar dari pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu kota pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Ribuan peserta Himpunan Bantah Kedatangan Trump ke Malaysia berarak dari Menara Tabung Haji ke Kedutaan AS, menyatakan sokongan terhadap aktivis GSF
  • Peserta cuba menghampiri kedutaan, namun dikawal ketat pasukan polis, dan himpunan berakhir sekitar jam 6.30 petang
  • Himpunan turut disertai tokoh politik dan aktivis, sebagai solidariti terhadap 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel dalam misi bantuan ke Gaza


Tinjauan Astro AWANI mendapati orang ramai mula beredar pada jam 6.30 petang, dan kesesakan di Jalan Tun Razak semasa himpunan berlangsung juga telah reda.

Himpunan bermula selepas solat Jumaat sekitar jam 2 petang di mana ribuan peserta mula berarak dari Menara Tabung Haji menuju ke lokasi berhimpun kira-kira 200 meter dari bangunan Kedutaan AS.

Pada jam 4 petang, para peserta mula melakukan cubaan untuk menghampiri kedutaan, namun dikawal rapi oleh pasukan Light Strike Force (LSF) daripada Polis Diraja Malaysia.

Kenderaan yang lalu-lalang juga membunyikan hon tanda solidariti kepada peserta himpunan.

Himpunan diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dijadual tiba pada Sidang Kemuncak ASEAN, 26 hingga 28 Oktober ini.

Selain mesej bantahan, peserta himpunan turut menyatakan sokongan terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada warga Gaza sebelum dipintas rejim zionis Israel pada Khamis.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim; bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik; pendakwah, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri.

Pada Khamis, 23 warga Malaysia telah ditahan tentera laut rejim Israel di perairan antarabangsa semasa menuju ke Gaza untuk menghantar bantuan.

GSF turut mengesahkan lebih 46 kapal melibatkan 450 aktivis dari 47 negara telah ditahan dan dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod.









#Himpunan Bantah Kedatangan Trump #Kedutaan Amerika Syarikat #protes #Global Sumud Flotilla #GSF