Usaha mengadakan himpunan generasi keturunan kesultanan Kedah boleh menyumbang ke arah mengukuhkan lagi kedudukan institusi raja di negeri ini, kata Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya.

Beliau berkata perjumpaan seumpama itu perlu diteruskan supaya ia dapat merungkai hubung kait antara generasi dan susur galur keturunan Sultan Kedah sejak dahulu hingga ke hari ini.

"Usaha seperti ini sangat dialu-alukan kerana ia memberi kekuatan dan sokongan kepada Persatuan Kerabat Diraja Kedah di samping mengukuhkan lagi kedudukan institusi diraja," katanya ketika ditemui di majlis himpunan generasi Tengku Abdul Khadir Tengku Osman di Kampung Namek di sini semalam.

Tengku Zainol Rashid berkata sehingga kini generasi yang berjaya mengadakan himpunan seumpama itu ialah di daerah Sik dan di daerah Baling oleh generasi Tunku Mahmud, anakanda kepada Sultan Kedah ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Beliau berkata generasi Tengku Abdul Khadir dipercayai berasal dari keturunan Sultan Kedah ke-24, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, dan berharap kajian lanjut dibuat bagi merungkai hubung kait di antara kedua-dua generasi itu.