KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan individu disyaki terlibat dalam ajaran Ahmadi Religion dalam himpunan didakwa berunsur lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu kota, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek diberkas di lokasi sama sejurus himpunan tersebut diadakan.

"Kesemua suspek terdiri lelaki warga tempatan berumur antara 18 hingga 56 tahun itu ditahan ekoran terbabit dalam himpunan terbabit.

"Siasatan mendapati individu terlibat memegang plakad berunsur LGBT selain beberapa perkataan yang menjurus kepada Ahmadi Religion," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Katanya, kesemua suspek direman sehari untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mendapati salah seorang suspek pernah diberkas kerana dipercayai mengedar risalah berkaitan Ahmadi Religion di sebuah masjid di Putrajaya dua minggu lalu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 9 Akta Perhimpunanan Awam 2012," katanya.

Pada Ahad, tular video di media sosial memaparkan sekumpulan individu mengadakan himpunan didakwa berunsur LGBT di hadapan sebuah pusat beli belah di ibu kota. - Sinar Harian