PUTRAJAYA: Tiga individu yang terlibat dalam penganjuran himpunan #Reformasi100Peratus di luar bangunan Parlimen, Kuala Lumpur akan tampil kepada pihak polis pada minggu hadapan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Menurutnya, kesemua individu itu merupakan penganjur dan polis berharap mereka memberi kerjasama.
"Seperti mana kita lihat, walaupun pemakluman tidak dibuat kepada pihak polis oleh penganjur, tapi kita (polis) telah memantaunya dengan baik.


"Himpunan itu berjalan lancar dan memorandum disampaikan serta hasrat mereka (berhimpun) tercapai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Presint 11 Putrajaya di sini pada Khamis.

Tambahnya, sekiranya tiada pemakluman di bawah APA 2012, ia satu kesalahan dan tanggungjawab polis menjalankan siasatan sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam himpunan seawal jam 8 pagi, Selasa lalu, puluhan individu dengan majoriti memakai pakaian berwarna kuning dan hitam mula berjalan dari Plaza Tugu Negara sehingga ke persimpangan laluan masuk ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum.

Mengulas mengenai Perhimpunan Mega Rakyat Demi Palestin anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) di ibu negara, Sabtu ini, Allaudeen menjelaskan, pihak polis memerlukan maklumat awal termasuk dokumen sewajarnya daripada pihak penganjur bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Ujarnya, perkara itu perlu dipastikan kerana di bawah undang-undang APA 2012, pemakluman perlu diberi lima hari sebelum penganjuran himpunan.

"Sebenarnya APA 2012 tiada permit, jadi tidak perlu gunakan istilah permit ini tiap kali dibangkitkan.

"Apa yang ada dalam akta ini adalah pemakluman lima hari sebelum dengan dokumen yang sewajarnya yang ada dalam undang-undang tersebut khususnya paling mustahak iaitu kebenaran pemilik premis," katanya.

Justeru, jelas beliau, tanggungjawab pihak polis bagi memastikan himpunan berjalan lancar dan kerana itu maklumat terperinci sangat diperlukan.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian