Hina Gojek: Shamsubahrin adakan sidang media hari ini

Astro Awani
Ogos 27, 2019 23:16 MYT
Shamsubahrin akan adakan sidang media tengah hari Rabu berhubung kenyataannya yang menyinggung pihak di Indonesia. -Gambar fail
Susulan kontroversi kenyataannya yang didakwa ‘menghina’ aplikasi Gojek, pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd akan mengadakan sidang media berkaitan perkara itu tengah hari Rabu.
“Esok (Rabu) saya ada sidang media untuk komen isu ini,” kata Datuk Shamsubahrin Ismail ketika ditanya berhubung kenyataannya yang membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia baru-baru ini, lapor Sinar Harian.
Difahamkan sidang media tersebut akan berlangsung pada jam 12 tengah hari di Jalan Ampang, di sini.
Pada Selasa, pemandu Gojek mengancam akan mengadakan demonstrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi membantah dakwaan penghinaan terhadap kerjaya itu oleh pengasas dan penasihat sebuah syarikat teksi di Malaysia.
BACA: Pemandu Gojek ancam kepung Kedutaan Malaysia berikutan video penghinaan tular
BACA: Isu Gojek: Pemandu teksi bimbang bakal hilang mata pencarian
BACA: Lapan garis panduan dicadang pastikan Gojek lebih selamat - MSOSH
BACA: Gojek - beri manfaat atau ...?
BACA: Gojek tak Islamik, tak sopan - Mufti Selangor
Beberapa laporan media tempatan memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata, mereka akan menyerahkan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.
Igun berkata, jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 September ini.
Berdasarkan satu video yang tersebar di Indonesia, Shamsubahrin membuat kenyataan yang dianggap menghina pemandu Gojek dan Indonesia.
“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut klip video itu.
Khamis lalu, Shamsubahrin mendakwa Gojek tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana ia dilihat bakal memberi banyak kesan negatif kepada masyarakat termasuk menyumbang kepada kadar kemalangan motosikal.
Menurutnya, kerajaan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk memperkenalkan pengangkutan terbaharu itu kerana kadar kesesakan jalan raya di Malaysia masih lagi terkawal.
“Saya tidak melihat apa perlunya kerajaan untuk mengikuti langkah beberapa negara jiran yang telah memperkenalkan pengangkutan teksi motosikal itu sedangkan keadaan trafik negara secara keseluruhannya masih lagi baik,” ujarnya.
#Big Blue Capital #Garda #Hina Gojek #Igun Wicaksono #Kedutaan Malaysia #Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua #permohonan maaf terbuka #Shamsubahrin Ismail #Zainal Abidin Bakar