Pengasas Hot Burger Malaysia Mohd Asri Hamid atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang membuat kenyataan menghina pasukan polis, dilihat meninggalkan ibu pejabat polis Bukit Aman pada pukul 1.00 tengah hari selepas kenyataannya direkodkan.

Peguam Mohd Asri, Datuk Shaharudin Ali berkata pada mulanya anak guamnya itu disoal siasat sekitar sejam setengah sebelum mereka pergi menunaikan solat Jumaat.

"Kenyataan telah direkodkan oleh pegawai penyiasat dari unit siasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Asri telah memberikan kenyataan mengenai dakwaan aktiviti perjudian dan penjualan rokok seludup ketika disoal, selain dakwaannya bahawa kebanyakan pegawai polis tidak menunaikan solat setiap hari," kata Shaharudin ketika ditemui pemberita di Bukit Aman di sini, hari ini.

Katanya Mohd Asri akan disoal semula pada pukul 3.00 petang berkenaan perkara yang sama.

Bernama sebelum ini melaporkan dua laporan polis telah dibuat terhadap Mohd Asri di Balai Polis Jalan Travers dan Jalan Tun Razak, dua hari lepas.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kebimbangan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan.

Dilaporkan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador turut menyifatkan dakwaan yang dibuat Asri terhadap pegawai polis tidak menunaikan solat sebagai 'melampau'.

Dalam video sama yang tular itu, Mohd Asri turut mengatakan perkara yang sama terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagaimanapun, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dalam kenyataan mengatakan pihaknya menerima permohonan maaf Mohd Asri yang disiarkan menerusi platform media sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Rabu lepas.

-- BERNAMA