KUALA LUMPUR: Polis meminta pemilik akaun Twitter 'zulisfine' tampil membantu siasatan berhubung kenyataan tular dikongsi melalui akaun berkenaan yang didakwa berunsur penghinaan terhadap Polis Diraja Malaysia.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang merupakan Ketua Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berkaitan kenyataan berkenaan.

Beliau berkata pengadu tidak terlibat dalam kejadian dimaksudkan pemilik akaun, namun tahu ia merujuk kepada kejadian melibatkan dua MPV polis mengejar sebuah kereta suspek kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, semalam.

Dalam kenyataan tular itu, pemilik akaun mendakwa kereta polis yang terlibat dipandu secara melulu kira-kira 11.30 pagi di SS2, Petaling Jaya, dekat sini dan melanggar kenderaan awam.

Mohamad Fakhruddin berkata pengadu menafikan kedua-dua kereta peronda tersebut melanggar kenderaan awam, selain mengesahkan tiada sebarang kesan calar terdapat pada kereta peronda itu sekiranya berlaku pelanggaran seperti didakwa.

Beliau berkata dalam kejadian itu, kenderaan suspek jenis Naza Citra yang lesen kenderaan motor (LKM) didapati tamat tempoh bertindak memecut laju secara melulu apabila diarah berhenti oleh pasukan peronda di Plaza Tol Penchala, dekat sini.

"Polis mengejar kereta itu hingga ke Jalan 2 SS6/67 dan kenderaan itu terpaksa berhenti selepas melanggar dua kenderaan awam. Pemandu dan penumpang hadapan kereta telah bertindak keluar untuk melarikan diri namun berjaya ditahan di hadapan bangunan berhampiran," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fakhrudin berkata dalam kejadian itu, selain penahanan pemandu dan penumpang hadapan iaitu dua lelaki tempatan, pihaknya turut menahan lapan lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 22 hingga 43 tahun yang menaiki Naza Citra tersebut.

Kesemua warga asing yang didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan tidak boleh bertutur bahasa Inggeris atau Melayu, dipercayai dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja di kilang di sekitar Damansara, dekat sini.

Menurutnya, dua lelaki tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 4(5) Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 manakala kesemua warga asing ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen (Pindaan) 2002 (Akta 155).

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA