Hishammuddin rakam ucapan terima kasih kepada petugas SJR

Bernama
Oktober 10, 2021 14:50 MYT
Hishammuddin menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan itu berikutan penamatan SJR di sempadan negeri selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri yang bermula tengah malam ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas bagi membendung wabak COVID-19.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan itu berikutan penamatan SJR di sempadan negeri selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri yang bermula tengah malam ini.
"Mungkin nampak mudah di mata kita, tetapi hanya yang cekal dan kuat semangat sahaja mampu bertugas siang malam di pelbagai lokasi SJR.
"Terima kasih anggota pasukan keselamatan yang terlibat. Semoga sentiasa dalam lindungan Allah SWT," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi beliau.
BACA: Akhirnya! 11 Okt dah boleh rentas negeri
Hishammuddin juga berkata seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas hari ini, SJR untuk menjaga keselamatan negara akan terus dilakukan.
Hari ini, kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Polis Diraja Malaysia akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan SJR di sempadan negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan.
-- BERNAMA
#SJR #Sekatan Jalan Raya #Menteri Kanan Pertahanan #Hishammuddin Hussein #ucapan terima kasih #perintah kawalan pergerakan #PKP #COVID-19 #rentas negeri