KUALA LUMPUR: Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan balik produk melibatkan tambahan 77,708 unit kenderaan bagi menggantikan pam bahan api sebagai langkah berjaga-jaga.

Model yang terjejas adalah Accord (model tahun: 2018, 2019), BR-V (2018, 2020), City (2019), City (HEV) (2019), Civic (2018, 2019), CR-V (2019, 2020), HR-V (2018), HR-V (HEV) (2018), Jazz (2019, 2020) dan Jazz (HEV) (2019, 2020).

Model dengan unit yang paling terjejas terdiri daripada City (30,388 unit), CRV (11,224), Jazz (10,417), Civic (9,016), HRV (7,679) dan BR-V (7,118).

"Syarikat percaya panggilan balik produk ini adalah perlu sebagai langkah pencegahan untuk menangani kemungkinan kesukaran bagi menghidupkan enjin, kehilangan kuasa enjin atau kenderaan terhenti.

"Setakat hari ini, tiada sebarang nahas atau kecederaan berikutan isu ini di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penggantian pam bahan api yang terjejas disediakan secara percuma dan semua kos yang berkaitan dengan aktiviti penggantian akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok alat ganti boleh didapati secara berperingkat.

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar Honda bertauliah dengan membuat temujanji berhubung penerimaan pemberitahuan bagi menggantikan pam bahan api, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

"Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan merangkumi butiran panggilan balik produk," katanya.

Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat atau menyemak status kenderaan mereka mengenai panggilan balik produk melalui aplikasi HondaTouch atau menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia 1-800-88-2020 atau masuk ke www.honda.com.my / productrecall.honda.com.my.

"Honda Malaysia memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul kepada pelanggan yang terjejas dan meyakinkan bahawa semua model jualan semasanya tidak terjejas dalam panggilan balik produk ini," katanya.

Syarikat itu berkata memandangkan keselamatan pelanggan adalah keutamaannya, ia akan terus berpegang kepada ketelusan dan kawalan yang ketat untuk pelanggan.

-- BERNAMA