Polis meminta orang ramai agar menghormati hak privasi keluarga dan mangsa pedofil warga Britain Richard Huckle.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata ia bagi membenarkan proses pemulihan dijalankan tanpa sebarang gangguan.

"Sebarang bentuk pendedahan melibatkan identiti mangsa adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 15, Akta Kanak-kanak 2001.

"Dan jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata sehingga kini, tiada keluarga mahupun mangsa yang tampil membuat laporan polis terhadap Huckle.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat laporan polis berhubung kes ini, boleh menghubungi Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman di talian 03-22666297 atau e-mel kepada [email protected]," kata Mohmad.

Pedofil warga Britain itu dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London pada Isnin kerana melakukan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.

Reuters melaporkan bahawa Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemukan lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Baru-baru ini, media Britain melaporkan bahawa Huckle, seorang jurufoto bebas, mungkin telah melakukan penderaan seksual melibatkan sehingga 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsanya adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur.