SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman yang merupakan teras dan paksi kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan di Malaysia.

Titah Baginda, rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara dan tidak melemparkan tohmahan tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Sultan Sharafuddin bertitah sebarang tohmahan yang tidak berasas akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman sekali gus menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.

Dalam kenyataan sama, Baginda turut menzahirkan sokongan padu kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini yang bertitah kuasa prerogatif pengampunan tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

BACA: Kuasa menghukum, pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenang - Agong

“Kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas dari sebarang pengaruh yang tidak diingini.

“Seorang Hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran.

“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahwa semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang Ini bermakna bahawa rakyat, tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang undang yang sama,” titah Sultan Sharafuddin.

Undang-Undang | Kuasa pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenang

Baginda bertitah, Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat Institusi Kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah badan kehakiman yang bebas dan berwibawa.

Justeru, Sultan Sharafuddin bertitah, badan kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Penghakiman yang dibuat tanpa sebarang bentuk desakan atau pengaruh menggambarkan satu bentuk sistem pentadbiran keadilan yang adil dan saksama.

Keadilan | Islam tidak beri keistimewaan sesiapa lakukan kesalahan

“Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik badan kehakiman agar ia tidak tercemar dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin bertitah agar pihak Eksekutif sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan badan kehakiman.

Agenda AWANI: Pengampunan Diraja: Undang-undang perlu konsisten dan adil

“Pepatah ada menyatakan bahawa apabila seseorang hakim membuat sesuatu keputusan ia hendaklah diputuskan atas dasar without fear or favour.

“Penghakiman yang dibuat tanpa sebarang bentuk desakan atau pengaruh menggambarkan satu bentuk sistem pentadbiran keadilan yang adil dan saksama,” titah Baginda.