Perjuangan penyatuan ummah adalah janji untuk mengembalikan kestabilan ekonomi, keharmonian dan kemakmuran negara yang menjadi hak kepada rakyat Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sambutan yang diberikan oleh ahli UMNO dan Pas adalah amat luar biasa dan merupakan pengorbanan amat besar oleh dua parti yang dulu tidak seiring.

"Kini hubungan UMNO dan Pas erat, mesra dan mempunyai matlamat yang sama untuk perpaduan ummah.

"Himpunan ini ditakrif sebagai penyatuan Melayu terbesar dalam demografik politik tempatan.

"Selain itu, kehadiran pemimpin dan ahli parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional turut menterjemahkan penyatuan ini meraikan kepelbagaian agama dan bangsa bukannya suatu ancaman kepada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggariskan enam hasrat utama penyatuan Pas dan UMNO menerusi piagam yang dipersetuji bersama.

Selain akidah, keimanan dan keikhlasan, Zahid juga mahu penyatuan itu kekal selamanya selain elak pergeseran sesama mereka.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan melihat kehadiran semua pihak dari seluruh negara bukti penerimaan pelbagai kaum kepada himpunan berkenaan.

"Saya amat yakin penyatuan ini akan memberi limpah rahmat kepada seluruh rakyat tanpa kita mengira bangsa dan agama melalui pentadbiran sebelum ini.

"Semoga Allah memberkati perjuangan ini dan memberi rahmat kepada Malaysia," jelasnya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terdahulu berkata,titik persamaan yang wujud antara Pas dan UMNO menjadikan gandingan kedua-dua parti itu sebagai penyatuan yang relevan pada seluruh rakyat Malaysia.

Ujarnya, selain menjadi parti terawal dalam perjuangan kemerdekaan, Pas dan UMNO juga berjaya meletakkan asas yang penting dalam Perlembagaan seperti kedudukan Islam, hak-hak agama lain, hak-hak Bumiputera, bahasa kebangsaan, hak bermasyarakat majmuk dan sebagainya.