HPUSM tawar Unit Rawatan Strok terbesar di Semenanjung Malaysia

Dr Imran pada Majlis Perasmian Unit Rawatan Strok dan HDU Neurologi di Wad 1 Selatan HPUSM, Kubang Kerian, hari ini. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kini dilengkapi dengan Unit Rawatan Strok, iaitu yang terbesar di Semenanjung dengan menyediakan rawatan reperfusi strok secara lengkap.
Ringkasan AI
- Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kini menyediakan Unit Rawatan Strok terbesar di Semenanjung dengan rawatan reperfusi strok lengkap.
- Unit Rawatan Strok HPUSM dilengkapi dengan kemudahan trombolisis, trombektomi, dan program rehabilitasi komprehensif, memberi manfaat kepada 900 hingga 1,000 pesakit strok iskemia setiap tahun.
- Pesakit strok muda di HPUSM, berusia antara 20 hingga 30-an, dikaitkan dengan faktor risiko seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti, dan kolestrol, menuntut rawatan segera untuk hasil yang lebih baik.
"Unit Rawatan Strok HPUSM yang terletak di Wad 1 Selatan ini merupakan satu-satunya wad khusus untuk pesakit strok di Kelantan dan yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Unit ini dilengkapi 18 katil termasuk 14 katil rawatan strok akut dan empat katil rehabilitasi strok, selain tujuh katil turut ditempatkan di Unit Separa Kritikal (HDU) Neurologi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Unit Rawatan Strok dan HDU Neurologi di Wad 1 Selatan HPUSM, Kubang Kerian, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pakar Perubatan Neurologi Prof Madya Dr Sanihah Abdul Halim.
Mengulas lanjut, Dr Imran berkata rawatan di Unit Strok HPUSM berkenaan disokong oleh penggunaan teknologi pengimejan moden dan terbaharu seperti pengimejan resonans magnetik (MRI) serta CT Perfusion (CTP) khusus untuk strok dan membolehkan diagnosis dibuat dengan lebih cepat dan tepat.
"Keseluruhan penubuhan unit ini menelan belanja kira-kira RM680,000. Kita berharap dengan adanya Unit Rawatan Strok HPUSM serta HDU Neurologi ini dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat dalam meningkatkan hasil rawatan pesakit strok," katanya.
Sementara itu, Dr Sanihah berkata setakat ini pesakit strok muda yang direkodkan di hospital berkenaan berusia antara 20 hingga 30-an disebabkan beberapa faktor dan risiko.
"Dahulu biasanya orang yang berusia menghidap strok tapi sekarang sudah ramai golongan muda berusia antara 20 hingga 30-an sudah mendapat penyakit ini terutama mereka yang mempunyai kencing manis, darah tinggi, obesiti serta kolestrol.
"Mengikut nisbah, satu dalam empat orang berisiko untuk mendapat penyakit strok. Individu yang diserang strok perlu mendapatkan rawatan pantas sekurang-kurangnya sebelum enam jam selepas terkena serangan bagi hasil rawatan yang lebih baik," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


