Skip to main content

Sukan

All England 2026: Jun Hao selamatkan kem Malaysia

bernama
- Foto BAM

KUALA LUMPUR: Pembukaan kempen agak suram buat kem badminton Malaysia apabila hanya pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao melepasi pusingan pertama saingan All England 2026 bermula Selasa.

Bagaimanapun, ia bukan mudah apabila pemain berusia 26 tahun itu terpaksa berhempas pulas dalam tempoh 121 minit sebelum berjaya menyingkirkan Kenta Nishimoto dari Jepun 21-17, 13-21, 21-18 untuk melangkah ke pusingan kedua.

Advertisement

Pemain di ranking ke-26 dunia itu akan berdepan seorang lagi wakil Jepun, Koki Watanabe yang mengejutkan pilihan ketiga Anders Antonsen dari Denmark 21-8, 21-12.

Nasib berbeza buat gandingan juara dunia negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila tersingkir awal selepas dikejutkan beregu bukan pilihan Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk.

Meskipun menguasai set pertama dengan 21-18, pilihan keempat kejohanan itu gagal mengekalkan momentum apabila tewas set kedua 12-21 sebelum akur 23-25 pada set penentuan.

Turut terkandas pasangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewqs kepada Dhruv Kapila-Tanisha Crasto  dari India 17-21, 19-21 manakala gandingan profesional Jimmy Wong-Lai Pei Jing tewas kepada wakil Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan, 17-21, 18-21.

Perjuangan pasangan muda negara 

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri turut berakhir apabila tunduk 13-21, 17-21 kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.

Turut tidak bernasib baik beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang kalah 9-21, 17-21 kepada pilihan kelima kejohanan Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dari Indonesia.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video