HRD Corp gantung tugas 3 pengurusan tertinggi susulan isu tadbir urus

HRD Corp turut mengakui kelemahan pemantauan sebelum ini, termasuk kes latihan dijalankan sebelum kelulusan diperoleh serta permohonan geran dikemukakan selepas latihan selesai.
KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertingginya susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Ketua Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurut HRD Corp dalam satu kenyataan hari ini, tindakan tersebut diambil selepas penelitian terhadap beberapa isu utama melibatkan pengurusan levi tidak digunakan, pemerolehan Menara Ikhlas, pengurusan pelaburan ekuiti serta kelewatan pelaksanaan Sistem Teras Baharu (New Core System) bernilai RM14 juta.
Sistem berkenaan dilaporkan tertangguh lebih empat tahun selepas mengalami tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (User Acceptance Test), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tadbir urus dan kecekapan pengurusan dalaman agensi itu.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, langkah penggantungan tugas berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha pemulihan dan pengukuhan tadbir urus selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
“Pendekatan ini menekankan keperluan kepada standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam institusi pembangunan tenaga kerja negara,” katanya.
Beliau menegaskan, HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas.
"Siasatan itu akan melibatkan semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat serta jejak audit berkaitan, selain pengambilan keterangan daripada pegawai terlibat.
“Proses ini dilaksanakan tertakluk kepada prinsip keadilan asasi serta keperluan kerahsiaan siasatan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, HRD Corp memaklumkan bahawa dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu, agensi itu berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak, dengan pulangan berjumlah RM151.8 juta.
Menurut kenyataan itu, pencapaian berkenaan mencerminkan usaha pemulihan pantas yang dilaksanakan bagi memastikan pelaburan HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi.
Sementara itu, HRD Corp turut mengumumkan penambahbaikan terhadap mekanisme kelulusan dan pemantauan program latihan.
"Antara langkah baharu yang diperkenalkan ialah penetapan tempoh minimum antara 21 hari hingga tiga bulan dari tarikh kelulusan sebelum sesuatu program latihan boleh dilaksanakan.
"Langkah tersebut bertujuan memberi ruang kepada majikan dan penyedia latihan membuat perancangan rapi, termasuk dari segi logistik, pendaftaran peserta dan tempahan lokasi, selain memperkukuh kawalan tadbir urus," tambahnya.
HRD Corp turut mengakui kelemahan pemantauan sebelum ini, termasuk kes latihan dijalankan sebelum kelulusan diperoleh serta permohonan geran dikemukakan selepas latihan selesai.
Bagi menangani isu berkenaan, agensi itu akan memperkukuh rangka kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat, termasuk dengan menempatkan pegawai di lapangan bagi menyelia pelaksanaan latihan.
HRD Corp yakin langkah penambahbaikan tersebut akan memperkukuh pematuhan, akauntabiliti serta tadbir urus organisasi, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda pembangunan modal insan negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


