BATU PAHAT: Projek pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) yang dimasukkan dalam Belanjawan 2024, akan memberikan manfaat besar terutama dalam menyelesaikan isu kesesakan di HSA, Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata lokasi pembinaan HSA2 yang dijangka di Skudai itu, selain menampung pesakit di Johor Bahru ia juga mampu memberikan perkhidmatan kepada penduduk sekitar Kulai dan Pontian.

Beliau berkata HSA2 bakal dibina atas tanah seluas 28 hektar, selepas mendapat kata sepakat daripada Kementerian Pertahanan yang menyumbangkan sebahagian tanah miliknya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pembinaan sebuah hospital baharu.

"Dijangkakan hospital ini (HSA2) adalah sebuah hospital pakar dan turut mampu menampung pesakit dari Kulai dan Pontian untuk mendapatkan perkhidmatan doktor pakar, memandangkan kedua-dua hospital itu belum mempunyai fasiliti pakar.

"Sebelum ini, bagi mendapatkan perkhidmatan pakar, para pesakit perlu bersesak di HSA, selain waktu mendapatkan rawatan yang agak lama," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan pembentangan Belanjawan 2024 di Yong Peng, dekat sini, Jumaat.

Ling berkata kos sebenar dan tempoh pembinaan HSA2 ini masih belum diperoleh kerana proses kerja awalan projek berkenaan akan bermula tahun hadapan.

Mengenai cadangan pembinaan sebuah lagi hospital iaitu Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, beliau berkata ia akan memberikan manfaat kepada pesakit yang berada di bahagian timur Johor terutamanya di Kota Tinggi dan Mersing.

"Di kawasan Mersing terutamanya kerana kekurangan fasiliti pakar, pesakit yang mahu mendapatkan perkhidmatan pakar perlu menempuh perjalanan sehingga tiga jam bagi rujukan hospital di Johor Bahru.

"Kompleks hospital ini juga akan berperanan sebagai tempat mengajar dan belajar dalam kursus perubatan, iaitu akan berada di situ doktor pakar bertaraf profesor sekali gus mampu menampung dan melengkapkan sistem perubatan di bahagian timur negeri ini," katanya.

Menurut Ling, peruntukan lain kepada KKM dalam Belanjawan 2024 seperti membaik pulih klinik uzur, perolehan peralatan perubatan dan penyelenggaraan sistem teknologi maklumat turut memberikan manfaat dalam sektor perubatan di negeri ini.

Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak RM41.2 bilion diperuntukan kepada KKM dalam Belanjawan 2024.

-- BERNAMA