Skip to main content

Malaysia

HSAJB berwajah baharu, kemudahan ibu dan bayi ditingkatkan

bilik bersalin lama&bilik bersalin baru -- FB Ah Soon
Tian Soon berkata, inisiatif ini selaras dengan visi Kerajaan Johor menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk semua rakyat.

JOHOR BAHRU: Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) kini beroperasi dengan wajah baharu selepas kerja menaik taraf fasiliti khas untuk ibu dan bayi di Bangunan Labour & Delivery siap dan kembali beroperasi Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata pembaharuan itu memberi keselesaan lebih baik kepada rakyat, selain menunjukkan komitmen kerajaan negeri menyediakan persekitaran kesihatan yang selamat, moden dan kondusif.

Advertisement

"Sudah tentu ini memberi wajah baharu kepada HSAJB dan ia juga menunjukkan komitmen kerajaan negeri menyediakan persekitaran kesihatan yang lebih selesa, selamat dan moden.

"Kami ingin memastikan setiap ibu menerima rawatan dalam suasana yang selesa dan kondusif, sambil mengekalkan standard keselamatan tinggi,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.

Tian Soon berkata, susun atur fasiliti yang dipertingkatkan kini lebih efisien, menyokong pengurusan kelahiran yang berkualiti di hospital tersebut.

Penambahbaikan turut merangkumi ruang menunggu dan bilik rawatan dengan kemudahan lebih moden bagi ibu dan bayi.

"Orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui bangunan pusat bersalin untuk akses ke bangunan utama sepanjang tempoh kerja naik taraf.

"Kerja-kerja penambahbaikan dijangka selesai sepenuhnya menjelang 30 Jun ini, katanya.

Sementara itu, Kaunter Hasil, Bilik Daftar Masuk (BDM) dan Farmasi Kecemasan masih beroperasi di aras bawah Bangunan Labour & Delivery sejak 30 Januari lalu.

Langkah berkenaan, katanya, untuk memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat kekal lancar tanpa gangguan sepanjang proses naik taraf dijalankan.

"Kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan keselamatan dan keselesaan dalam setiap projek kesihatan awam yang dilaksanakan.

"Kesihatan ibu dan bayi adalah keutamaan kami. Dengan fasiliti yang lebih baik, pengalaman rawatan di hospital ini dijangka lebih selesa dan efisien,” katanya.

Katanya, inisiatif ini selaras dengan visi Kerajaan Johor menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk semua rakyat.
 

Must Watch Video