Skip to main content

Malaysia

MTL: SMART siap siaga hadapi bencana dalam bencana - Komander

Abdul Manaf berkata SMART berperanan sebagai pasukan sokongan kepada agensi penyelamat barisan hadapan dan akan digerakkan ke pangkalan operasi hadapan yang dikenal pasti berdasarkan keperluan semasa. - Gambar fail/BERNAMA
Abdul Manaf berkata SMART berperanan sebagai pasukan sokongan kepada agensi penyelamat barisan hadapan dan akan digerakkan ke pangkalan operasi hadapan yang dikenal pasti berdasarkan keperluan semasa. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

SEPANG: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) meningkatkan kesiapsiagaan menangani kemungkinan bencana berganda termasuk tanah runtuh dan bangunan runtuh akibat arus deras serta peningkatan paras air dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Komander SMART Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa berkata persediaan menghadapi situasi yang disifatkan sebagai “bencana dalam bencana” amat penting memandangkan kejadian banjir berpotensi mencetuskan insiden lain yang lebih kompleks dan berbahaya.

“Sekiranya berlaku banjir dan pada masa sama terdapat keruntuhan struktur seperti tanah runtuh dan keruntuhan bangunan disebabkan pergerakan air deras serta paras air tinggi, pasukan SMART bersiap sedia menghadapi perkara itu.

“Kami berlatih secara khusus untuk menstabilkan struktur dan mengendalikan kerja mengeluarkan mangsa daripada kawasan runtuhan serta membawa mereka ke tempat selamat walaupun dalam keadaan banjir,” katanya kepada Bernama.

Abdul Manaf berkata bagi memperkukuh kesiapsiagaan itu, sebanyak 136 anggota SMART menjalani latihan pengendalian bot dan penyelamatan di air selama lima hari secara berperingkat di Pantai Bagan Lalang di sini.

Latihan itu dilaksanakan pada siang dan malam bertujuan menguji keupayaan anggota untuk menghadapi pelbagai keadaan termasuk arus deras, cuaca buruk serta operasi menyelamat dalam keadaan gelap.

Selain teknik pengendalian bot dan penggunaan peralatan menyelamat, anggota turut dilatih menangani kecemasan termasuk kerosakan enjin, kegagalan peralatan serta keadaan luar jangka ketika membawa mangsa banjir.

“Kita tidak mahu insiden seperti bot terbalik atau rosak berlaku semasa membawa mangsa. Oleh itu, anggota turut didedahkan kepada aspek teknikal dan kejuruteraan asas bagi membolehkan mereka mengambil tindakan awal sebelum bantuan pemulihan tiba,” katanya.

Abdul Manaf berkata latihan turut melibatkan pegawai penyelaras zon Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mungkin perlu menggunakan bot untuk memasuki kawasan terputus hubungan termasuk bagi meninjau pusat pemindahan sementara (PPS).

Mengenai penugasan sepanjang MTL, Abdul Manaf berkata SMART berperanan sebagai pasukan sokongan kepada agensi penyelamat barisan hadapan dan akan digerakkan ke pangkalan operasi hadapan yang dikenal pasti berdasarkan keperluan semasa.

Beliau berkata lokasi penempatan anggota akan ditentukan menerusi penyelarasan pada peringkat zon dengan mengambil kira kawasan berisiko serta keperluan operasi di negeri yang terlibat.

Selain penyelamatan di permukaan air, Abdul Manaf berkata SMART akan meneruskan latihan menyelam skuba bagi memastikan keupayaan penyelamatan bawah air dan semua aset berkaitan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan optimum.

MTL 2026/2027 dijangka bermula pada penghujung Oktober dan berterusan hingga pertengahan Mac tahun depan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement