NIBONG TEBAL: Hospital Sungai Bakap (HSB) mencari ahli keluarga atau waris kepada seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 3 Sept lepas dan mayatnya masih ditempatkan di Unit Forensik hospital itu hingga sekarang.

Jurucakap Unit Forensik HSB berkata lelaki dikenali sebagai Lee Tuck Chin, 67, meninggal dunia kira-kira pukul 3 petang dan beralamat terakhir di nombor 362 Sungai Puyu, Butterworth, dekat sini.

"Berdasarkan maklumat, lelaki itu sebelum ini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Nibong Tebal dan selepas meninggal dunia pihak hospital telah berusaha mengesan ahli keluarga atau warisnya bagi urusan pengebumian namun masih gagal kesan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat ahli keluarga atau waris lelaki itu agar menghubungi Unit Forensik HSB untuk urusan menuntut mayat.

-- BERNAMA