SINGAPURA:Ketidaksediaan Singapura untuk menerima cadangan Malaysia agar tidak mengekalkan Assets Company (AssetsCo) sebagai pembekal sistem dan operator rangkaian projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura adalah antara punca penamatan projek itu.

Memetik laporan The Straits Times, Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung menjelaskan perkara itu di Parlimen pada Isnin dan berkata cadangan itu juga telah mengubah 'perkara utama' daripada persetujuan awal kedua-dua negara.

Katanya,“perubahan signifikan” untuk tidak mengekalkan AssetsCo sebagai pembekal merupakan kebimbangan utama buat Singapura, sekaligus menjurus kepada pembatalan projek berkenaan.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sengkang Louis Chua di Parlimen tentang faktor-faktor yang menyebabkan projek itu terbatal.

“Disebabkan dua-dua negara tidak mempunyai kepakaran atau pengalaman dalam menjalankan HSR, kami bersetuju di bawah persetujuan bilateral HSR untuk melantik pemain industri yang terbaik melalui tender antarabangsa secara terbuka dan telus bagi memainkan peranan AssetsCo.

“Setelah dilantik, AssetsCo akan membekalkan sistem kereta api, menjalankan operasi rangkaian, memastikan keutamaan diberikan secara wajar kepada HSR sebagai perkhidmatan rentas-sempadan serta tujuan domestik di Malaysia, dan boleh dipertanggungjawabkan oleh Singapura dan Malaysia,” jelas Ye Kung.

Bagi Singapura, katanya, AssetsCo menjadi keutamaan projek HSR dan wajib dikekalkan bagi memastikan kepentingan Singapura dan Malaysia dilindungi.

“Ini akan memastikan sebarang perselisihan pendapat pada masa hadapan dapat dielakkan apabila projek ini dijangka akan berlanjutan selama berdekad,” kata Ye Kung.

Justeru, Singapura memaklumkan kepada Malaysia bahawa tidak mengekalkan AssetsCo adalah perubahan ke atas perkara asas yang telah dipersetujui sebelum ini.

Tambahnya, Malaysia turut bercadang untuk menyambung jajaran HSR ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akan menyebabkan kereta api itu berkongsi trek dengan trek kereta api lain yang sedia ada.

"Express Rail Link merupakan model sistem kereta api sedia ada yang bergerak pada kelajuan separuh daripada kelajuan HSR. Sekiranya ini diteruskan, terdapat banyak isu teknikal yang perlu ditangani," jelas Ye Kung lagi.

BACA: Perjanjian projek HSR Malaysia-Singapura tamat, terbatal secara sendiri

BACA: Projek HSR: Pampasan, KL-JB, kerugian? - Ini penjelasan Tok Pa

Pada masa sama, Ye Kung turut memberitahu bahawa Singapura telah membelanjakan sebanyak S$270 juta (RM821 juta) untuk projek HSR setakat ini.

Terdahulu, perjanjian projek HSR disahkan berakhir pada 31 Disember 2020 sekaligus menyebabkan projek tersebut terbatal secara sendiri.

Peranan AssetsCo sebagai pembekal utama projek HSR sepatutnya diisi menerusi lantikan tender antarabangsa secara terbuka.

[INFOGRAFIK] Kronologi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura