NATIONAL
Hubungan ASEAN-GCC buka peluang baharu dalam ekonomi, pendidikan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bergambar bersama Setiausaha Agung GCC, Jasem Mohamed Albudaiwi, selepas menandatangani rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hubungan strategik antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kini memasuki fasa yang lebih signifikan, melibatkan kerjasama meluas dalam bidang ekonomi, pelaburan, teknologi, perbankan Islam dan pendidikan tinggi.
Ringkasan AI
- Hubungan strategik ASEAN-GCC kini semakin kukuh dengan kerjasama meluas dalam bidang ekonomi, pelaburan, teknologi, perbankan Islam, dan pendidikan tinggi, terutamanya selepas Sidang Kemuncak ASEAN-GCC pertama pada 2023.
- Negara-negara GCC sedang beralih daripada kebergantungan kepada minyak dan gas kepada sektor baharu seperti ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), di mana ASEAN, khususnya Malaysia dan Singapura, dilihat sebagai rakan strategik yang berpotensi.
- Malaysia berpeluang menarik lebih banyak pelaburan kewangan Islam serta menjadi destinasi pendidikan pilihan bagi pelajar dari rantau Teluk, berikutan pengiktirafan antarabangsa terhadap universiti-universitinya dan ketidaktentuan geopolitik global.
"Walaupun majoriti eksport GCC ke ASEAN masih melibatkan minyak dan gas iaitu sekitar 64 hingga 67 peratus, negara-negara GCC kini giat meneroka sektor-sektor baharu seperti ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), di mana Malaysia dan Singapura mempunyai kelebihan tersendiri.
“GCC tidak hanya mahu dilihat sebagai pengeluar minyak. Mereka kini berminat dalam sektor AI, ekonomi digital dan teknologi baharu. ASEAN, khususnya Malaysia, berpeluang menjadi rakan strategik dalam bidang ini,” jelasnya semasa wawancara khas bersama Astro AWANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Selain teknologi, GCC juga dikenal pasti sebagai antara 10 pelabur terbesar di ASEAN, walaupun sebahagian besar pelaburan kini tertumpu kepada sektor hartanah seperti hotel dan pembangunan komersial.
“Negara-negara seperti UAE dan Bahrain menunjukkan minat tinggi dalam bidang kewangan Islam dan takaful. Buat masa ini, banyak pelaburan kewangan mereka ke Singapura, namun kita mahu melihat lebih banyak pelaburan masuk ke Malaysia dan Indonesia," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan dalam konteks pendidikan pula, ketidaktentuan geopolitik global memberi peluang kepada Malaysia untuk muncul sebagai destinasi pilihan pelajar dari rantau Teluk.
“Banyak universiti di Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kita boleh menawarkan program berkualiti kepada pelajar GCC, yang sebelum ini lebih cenderung memilih United Kingdom atau Amerika Syarikat,” ujarnya lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami