KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia dengan China telah menjadi pengaruh yang besar dan diiktiraf sebagai titik tumpuan dalam perdagangan dan pelaburan rantau ASEAN.

Menurut Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, hubungan baik antara China dan Malaysia banyak memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara dari segi kemajuan dan perdagangan.

Untuk itu, beliau berharap China dapat melonggarkan pintu sempadan antarabangsa dengan membenarkan Malaysia menjadi salah satu negara yang boleh mendapat manfaat daripada pembukaan semula tersebut.

“Saya telah mencadangkan agar negara China membuka semula sempadan mereka untuk membenarkan industri acara perniagaan dijalankan dan menjadikan Malaysia antara negara pertama yang dapat menikmati ‘Travel Bubble’ ini.

“Selain itu, kita juga perlu meneruskan usaha untuk mengadakan program pertukaran pelajar antara pelajar-pelajar di negara China dan Malaysia dalam memeberi semangat kepada generasi baru kerana mereka merupakan pemimpin masa hadapan.

“Ini juga dapat menjadikan hubungan antara negara China dan Malaysia lebih maju dalam mencapai pembangunan bersama-sama,” katanya.

BACA: Malaysia, Turki akan muktamadkan keseluruhan pakej FTA diperluaskan pada pertengahan 2022 - Azmin 

BACA: Irmohizam bertemu Duta Singapura, bincang rancakkan industri acara perniagaan 

Beliau berkata demikian dalam forum yang bertajuk ‘Friends of Silk Road Forum: World Significance of China’s Development’ anjuran Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC)  pada Jumaat.

Ia turut disertai wakil kepada Datuk Abdul Majid Ahmad Khan (Presiden PPMC), Prof Wang Yuzhu (Dekan Institut Penyelidikan China-ASEAN, Universiti Guangxi), Dr Hongliang Ge (Timbalan Dekan Kolej ASEAN, Universiti Guangxi) dan Bunn Nagara (Felo Penyelidik Akademi Perak).