KUANTAN: Hubungan Malaysia dan Singapura tidak terjejas ekoran kes Nagaenthran Dharmalingam selepas menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura pada Rabu lalu kerana didapati bersalah menyeludup dadah ke negara itu pada 2009.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, dari aspek hubungan diplomatik, hubungan itu tidak terjejas kerana Malaysia sentiasa menghormati undang-undang negara sahabat.

Bahkan, Malaysia juga, tegas Saifuddin, menghormati keperluan setiap kerajaan dan negara tersebut untuk menegakkan keluhuran undang-undang mereka.

"Kita (Malaysia) menghormati lunas undang-undang yang dijalankan di Singapura dan dari segi hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura tidak terganggu walau sedikit pun kerana kita saling faham memahami dari segi keperluan setiap kerajaan dan negara untuk menegakkan keluhuran undang undang masing masing,” kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri di perkarangan Wisma Belia Indera Mahkota di sini, hari ini.

Nagaenthran, 34, yang berasal dari Perak dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.

Mendiang sepatutnya dijadualkan menjalani hukuman pada 10 November tahun lalu tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia positif COVID-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

Mendiang Nagaenthran dikebumikan di kampung halamannya pada Jumaat.

Mengenai cadangan pertukaran banduan, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, ketika ini Malaysia dan Singapura tidak ada sebarang perjanjian pertukaran banduan antara kedua negara.

Namun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kata beliau akan melihat lebih lanjut berkenaan cadangan itu kerana Malaysia bersedia pada tahap adanya pertukaran banduan.