Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Hubungan Malaysia-Uzbekistan masuk babak baharu susulan lawatan peringkat tinggi - Duta

KUALA LUMPUR, Sept 8 - Ambassador of the Republic of Uzbekistan to Malaysia Dr Karomidin Gadoev delivers his speech at the 35th Anniversary of the Independence of Uzbekistan at a hotel today. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Gadoev berucap pada majlis resepsi sempena ulang tahun ke-35 kemerdekaan Uzbekistan, di Kuala Lumpur, pada Selasa. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia-Uzbekistan memasuki "babak baharu" susulan beberapa siri lawatan dan pertemuan peringkat tinggi tahun ini, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara, kata Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev.

Beliau berkata, Malaysia kekal sebagai antara rakan penting dan dipercayai Uzbekistan di Asia Tenggara, dengan hubungan kedua-dua negara berteraskan persahabatan, persefahaman dan rasa saling menghormati.

"Lawatan bersejarah ini membuka babak baharu dalam kerjasama Uzbekistan-Malaysia," katanya pada majlis resepsi sempena ulang tahun ke-35 kemerdekaan Uzbekistan, di sini, pada Selasa.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Gadoev berkata, perkembangan itu menyusuli lawatan diraja bersejarah ke Uzbekistan pada Mei serta pertemuan antara Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tashkent pada Jun.

"Hari ini, dialog peringkat tinggi kita lebih kukuh berbanding sebelum ini," katanya sambil menyatakan Malaysia juga antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Uzbekistan.

Beliau berkata, perdagangan dua hala terus berkembang, manakala kerjasama pelaburan serta kerjasama antara universiti kedua-dua negara turut menunjukkan perkembangan positif.

"Kami amat menghargai sokongan kerajaan Malaysia dalam semua bidang perkongsian dua hala. Kami juga berterima kasih kepada rakan perniagaan dan organisasi pendidikan kami," katanya.

Gadoev berkata, kerjasama pelancongan merupakan satu lagi bidang yang mencatat pertumbuhan ketara, dengan lapan penerbangan terus kini menghubungkan ibu negara kedua-dua negara.

"Sepanjang tiga tahun lepas, jumlah pelancong dari Malaysia ke Uzbekistan meningkat hampir tiga kali ganda," katanya.

Beliau berkata, lebih 16,000 warga Uzbekistan mengunjungi Malaysia pada separuh pertama tahun ini, meningkat 62 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Duta itu berkata, kerjasama Uzbekistan yang semakin berkembang dengan Malaysia berlangsung seiring dengan pembangunan pesat ekonomi negara berkenaan, dengan pertumbuhan ekonominya kekal melebihi enam peratus setahun meskipun berdepan cabaran global.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement